Kerajaan hadkan kawasan tanaman sawit - Fadillah

 Kerajaan komited dalam menerajui kemampanan industri sawit termasuk mengehadkan keluasan kawasan tanaman sawit negara. - Foto Bernama
Kerajaan komited dalam menerajui kemampanan industri sawit termasuk mengehadkan keluasan kawasan tanaman sawit negara. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan komited dalam menerajui kemampanan industri sawit termasuk mengehadkan keluasan kawasan tanaman sawit negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, bagi meningkatkan pengeluaran minyak sawit, usaha difokuskan kepada kawasan tanaman sedia ada melalui aktiviti penanaman semula menggunakan baka yang akan memberikan hasil tinggi dan menerusi amalan pertanian baik.

"Kemampanan sektor sawit kini merupakan isu global yang perlu ditangani bersama bagi keseimbangan antara kemakmuran ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar.

"Sejajar dengan konsep Malaysia Madani yang menggariskan kemampanan sebagai salah satu teras utama, saya menggesa semua pihak berkepentingan dalam industri sawit supaya memegang teguh prinsip kemampanan dalam usaha meningkatkan ekonomi tanpa menjejaskan alam sekitar dan kebajikan rakyat,” katanya pada majlis perasmian Program Pemindahan Teknologi Sawit di ibu pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dekat sini, pada Khamis.

Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Mohamad Helmy Othman Basha.

Selain itu, Fadillah berkata, pelaksanaan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) secara mandatori adalah bagi memastikan kemampanan industri sawit dan penghasilan produk minyak sawit berkualiti.

"Setakat 31 Mei 2023, sejumlah 95.81 peratus kawasan bertanam sawit telah dipersijilkan dengan MSPO. Justeru, saya yakin dengan penggunaan teknologi secara berkesan dan pematuhan kepada amalan pertanian mampan, industri sawit Malaysia mampu bersaing di peringkat global bagi memenuhi permintaan minyak dan lelemak yang semakin meningkat,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!