Guru dilantik petugas SPR siap siaga hadapi PRN enam negeri

Fadhlina (kiri) melawat pameran seni selepas Majlis Perasmian Perpustakaan Peringatan Siddiq Fadzil di Unisel Bestari Jaya, di sini pada Khamis.
Fadhlina (kiri) melawat pameran seni selepas Majlis Perasmian Perpustakaan Peringatan Siddiq Fadzil di Unisel Bestari Jaya, di sini pada Khamis.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Semua guru sekolah yang dilantik menjadi petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah bersiap siaga sepenuhnya bagi menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN), pada 12 Ogos depan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya sudah menyelesaikan semua urusan berkaitan pilihan raya dengan SPR.

"(Guru dilantik petugas SPR) dianggap sebagai proses dan prosedur biasa yang dilalui setiap kali berlakunya sesuatu pilihan raya.

"Kita sudah selesaikan semuanya dengan SPR terutama berkaitan jumlah guru dan sekolah yang bakal digunakan untuk proses pembuangan undi," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Perpustakaan Peringatan Siddiq Fadzil di Universiti Selangor (Unisel) Bestari Jaya, di sini pada Khamis.

Beliau berkata, jumlah sekolah yang akan dijadikan sebagai pusat mengundi turut akan ditentukan KPM.

Bagaimanapun, katanya, jumlah itu pastinya berkurangan berbanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

"Situasi PRN memang berbeza biarpun melibatkan enam negeri, namun semua sekolah sudah bersedia untuk digunakan sebagai tempat mengundi," ujar beliau.

Beliau memberitahu, semua guru sama ada sekolah rendah atau menengah telah diberikan taklimat menyeluruh oleh SPR.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan semua sekolah di enam negeri bersedia dijadikan sebagai pusat mengundi bagi PRN.

Persediaan itu turut merangkumi kerjasama KPM dengan SPR seperti yang dilakukan setiap kali pilihan raya berlangsung di negara ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!