Tawaran unik Ratcliffe beli United
INDIVIDU terkaya Britain, Jim Ratcliffe optimis berada dalam posisi yang betul untuk bersaing membeli Manchester United.
Ratcliffe juga percaya kelab istimewa tersebut adalah seperti seni unik dan bidaannya setanding dengan apa yang diinginkan oleh United.
Bagaimanapun Ratcliffe yang bersaing dengan Sheikh Jassim Hamad Al-Thani sedar dia tidak boleh memaksa keluarga Glazer untuk menjual kelab kepadanya.
“Saya menandatangani perjanjian sulit jadi saya tidak boleh mendedahkannya.
“Proses masih berjalan dan kami sedang melaluinya,” kata Ratcliffe.
Kedua-dua individu itu membuat tawaran dan bidaan berbeza apabila Sheikh Jassim mahu pemilikan 100 peratus.
Ratcliffe pula bersedia membeli sebahagian besar saham yang masih membolehkan pengerusi bersama United ketika ini, Joel dan Avram Glazer kekal untuk jangka masa tertentu.
Bagi menguatkan komitmennya, Ratcliffe yang merupakan peminat kelab itu ketika dia tinggal di Bolton dikatakan memiliki kelebihan untuk membeli United.
“Nilai pasukan seperti ini sangat istimewa, ia seperti seni yang sukar ditemui. Saya tidak rasa dunia sukan banyak berubah sejak 10 tahun lalu,” katanya.
Ratcliffe turut berjanji untuk tidak meletakkan nama syarikatnya sebagai sebahagian daripada perjanjian untuk stadium baharu United.
“Saya tidak akan menukarnya, ia akan sentiasa menjadi Old Trafford," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!