Choo Thiam mohon lepas tanpa bebas kes rasuah RM15 juta

Choo Thiam memohon mahkamah untuk mengetepikan empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM15 juta bagi mendapatkan projek milik agensi di bawah KDN, pada tahun lalu.
Choo Thiam memohon mahkamah untuk mengetepikan empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM15 juta bagi mendapatkan projek milik agensi di bawah KDN, pada tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah syarikat bergelar Datuk Seri memohon kepada Mahkamah Sesyen di sini, untuk mengetepikan empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM15 juta bagi mendapatkan projek milik agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), pada tahun lalu.

Menerusi notis permohonan yang difailkan menerusi Tetuan Low pada Selasa lalu, Sim Choo Thiam, 54, memohon agar mahkamah melepas tanpa dibebaskannya daripada kesemua pertuduhan berkenaan.

Beliau selaku pemohon memfailkan perkara itu dengan alasan, pasukan pendakwaan sebagai responden, telah melanggar kewajipan statutori di bawah Seksyen 153 dan 154 Kanun Tatacara Jenayah.

"Siasatan kes ini pada setiap masa material juga didapati tidak lengkap," kata Choo Thiam menerusi dokumen itu.

Ahli perniagaan itu turut memohon supaya responden menyerahkan pernyataan bertulis, dalam masa tujuh hari dari tarikh perintah mahkamah dibuat.

Beliau berkata, terdapat fakta yang memihak kepada pembelaan, iaitu pertuduhan terhadapnya dibuat pada pagi 10 Mei lalu.

Sedangkan katanya, kenyataan bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin hanya direkodkan pada sebelah petang, hari yang sama.

Selain itu, beliau berkata, kenyataan yang direkodkan oleh pihak SPRM pada 16 dan 28 Februari lalu, tidak menyokong mana-mana unsur kesalahan dalam setiap pertuduhan rasuah itu.

Pada 28 Jun lalu, Mahkamah Sesyen menetapkan perbicaraan kes pengarah itu selama 10 hari bermula 6 hingga 10 dan 13 hingga 17 Mei 2024.

Pada 10 Mei lalu, Choo Thiam, 54, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap keempat-empat tuduhan terbabit.

Bagi tuduhan pertama, beliau didakwa meminta suapan wang berjumlah RM15 juta daripada Pengarah Urusan Asia Coding Centre Sdn Bhd, Hep Kim Hong melalui Syed Abu Zafran Syed Ahmad pada Jun 2021.

Ia sebagai dorongan untuk seorang pegawai badan awam iaitu Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan apa-apa projek milik agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri pada Jun 2021.

Beliau juga didakwa dengan tiga lagi tuduhan iaitu menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM15 juta daripada individu sama sebagai dorongan untuk Hamzah melakukan perkara serupa.

Kesemua tuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!