PRN: Bas percuma untuk pelajar IPT Kelantan balik mengundi
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada pelajar institut pengajian tinggi untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, perkhidmatan tersebut bagi memudahkan pelajar di luar Kelantan pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih.
"Perkhidmatan ini akan diuruskan oleh satu jawatankuasa khas diketuai oleh Pejabat Perbendaharaan Negeri Kelantan dan diurusetiakan oleh Pejabat Pembangunan Negeri.
"Tarikh bagi perjalanan balik bermula 6 hingga 11 Ogos, manakala tarikh kembali ke destinasi asal pada 13 hingga 15 Ogos," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ujarnya, pelajar bebas menggunakan hak mereka untuk memilih mana-mana calon atau parti politik yang bertanding tanpa terikat dengan apa jua syarat.
"Semoga perkhidmatan tersebut dapat membantu meringankan beban pelajar serta ibu bapa," ujarnya.
Tambahnya, kerajaan Kelantan sangat menyedari kepentingan mahasiswa dan mahasiswi dalam menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih demi masa depan negara.
"Penglibatan mereka sebagai pemilih dalam pilihan raya memberi impak yang sangat besar dalam membina negara melalui pentas demokrasi.
"Justeru, hak mereka sebagai pemilih tidak boleh dinafikan hanya disebabkan tekanan ekonomi dan kos sara hidup," ujarnya.
Untuk keterangan lanjut pelajar boleh menghubungi Pejabat Pembangunan Negeri di talian 09-7481180.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!