BNM kekal OPR pada 3 peratus
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada Khamis memutuskan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dikekalkan pada 3.00 peratus.
BNM menjelaskan pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal agak akomodatif dan terus menyokong pertumbuhan ekonomi.
Bank pusat menambah MPC terus menilai bahawa risiko ketidakseimbangan kewangan pada masa hadapan adalah terhad.
BNM memaklumkan MPC juga kekal berwaspada terhadap perkembangan semasa dan akan terus memantau data baharu bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negara.
"MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil," jelas BNM dalam Pernyataan Dasar Monetari yang dikeluarkannya.
Menurut bank pusat, ekonomi global terus berkembang, didorong oleh keadaan permintaan dalam negara yang berdaya tahan dengan sokongan keadaan pasaran pekerja yang teguh.
Walau bagaimanapun, pertumbuhan global terus terjejas disebabkan oleh inflasi teras yang berlarutan dan kadar faedah lebih tinggi.
"Meskipun pembukaan semula China terus menyokong ekonomi global, kadar pemulihannya menjadi perlahan pada bulan-bulan kebelakangan ini. Pada peringkat global, inflasi keseluruhan terus menurun, namun inflasi teras masih melebihi purata yang dicatatkan sebelum ini. Pendirian dasar monetari bagi kebanyakan bank pusat dijangka kekal ketat," tambahnya.
BNM menjelaskan prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan, terutama disebabkan oleh momentum ekonomi utama yang lebih perlahan, inflasi sebenar lebih tinggi berbanding jangkaan, ketegangan geopolitik yang semakin meruncing dan keadaan pasaran kewangan yang menjadi ketat secara mendadak.
Susulan pertumbuhan kukuh pada suku pertama 2023, ekonomi Malaysia berkembang pada kadar yang lebih sederhana pada bulan-bulan kebelakangan ini berikutan eksport yang terjejas disebabkan oleh permintaan luaran yang lebih perlahan seperti yang dijangka, menurut bank pusat.
BNM memaklumkan pertumbuhan bagi bulan-bulan seterusnya pada 2023 akan terus didorong oleh permintaan dalam negara yang berdaya tahan dengan perbelanjaan isi rumah terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan, terutama dalam sektor berorientasikan dalam negara.
Ketibaan pelancong bertambah dengan stabil dan dijangka terus meningkat lantas menggiatkan aktiviti berkaitan pelancongan, jelasnya.
Dari segi pelaburan, BNM menjelaskan aktiviti pelaburan akan disokong oleh projek infrastruktur berbilang tahun yang terus dilaksanakan manakala keadaan kewangan domestik juga terus kondusif untuk pengantaraan kewangan susulan pertumbuhan kredit yang berterusan, tambahnya.
"Prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan, berpunca daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan. Risiko pertumbuhan menjadi lebih tinggi pula berpunca terutama daripada faktor dalam negara seperti aktiviti pelancongan yang lebih kukuh berbanding jangkaan serta pelaksanaan projek yang lebih pantas," menurut BNM.
Bank pusat berpandangan inflasi keseluruhan terus menurun berikutan faktor kos yang lebih rendah.
Meskipun inflasi teras juga menjadi sederhana, inflasi tersebut kekal tinggi berbanding dengan purata jangka panjang berikutan faktor permintaan dan kos yang berlarutan.
Menurut BNM, inflasi keseluruhan dan inflasi teras bagi separuh kedua 2023 diunjurkan lebih rendah namun pada amnya adalah mengikut jangkaan.
"Risiko terhadap prospek inflasi terus sangat dipengaruhi oleh inflasi teras yang berlarutan, perubahan dasar dalam negara mengenai subsidi dan kawalan harga, serta perkembangan harga komoditi global dan pasaran kewangan," tambah BNM. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!