Projek musang king di Rimba Teloi ibarat 'bom jangka'
ALOR SETAR - Projek ladang durian musang king di Hutan Simpan Kekal (HSK) Rimba Teloi, Sik dikhuatiri menjadi 'bom jangka' yang boleh mencetuskan kepala air seperti yang berlaku di Kampung Iboi, Baling tahun lalu.
Pengerusi Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS) Kedah, Mohd Sobri Ramlee berkata, kebimbangan itu ekoran terdapat kolam-kolam takungan dianggarkan berkeluasan 20,000 kaki persegi dibina di puncak bukit berkenaan.
Menurutnya, dikhuatiri kolam takungan tersebut pada bila-bila masa sahaja boleh ‘meletus’ dan membanjiri kawasan penempatan berdekatan.
“Tinjauan udara pada 25 Jun mendapati kerja-kerja penanaman durian musang king masih aktif di Hutan Simpan Rimba Teloi, sama seperti tinjauan dilakukan setahun lalu (24 Julai 2022) selepas tragedi banjir lumpur di Kampung Iboi, Baling.
“Saya dapati sebahagian kawasan tersebut digondol dengan membina teres bagi penanaman musang king. Ia menimbulkan tanda tanya dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Ogos tahun lalu bahawa hutan berkenaan sudah ditanam pokok tutup bumi,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Mohd Sobri berkata, kelihatan kawasan yang digondolkan sama ada pembalakan baharu atau tapak ladang hutan yang sedang dibangunkan.
“Antara pertikaian yang timbul termasuk pokok musang king tidak tersenarai dalam 11 spesies tanaman yang dikenal pasti sebagai ladang hutan, tetapi tetap dibenarkan ditanam.
“Tiada langkah diambil pihak berwajib termasuk kerajaan negeri untuk hentikan projek tersebut atau melakukan kajian semula Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) meskipun beberapa kali dibantah,” ujarnya.
Menurutnya, selain berisiko berlakunya kepala air yang menjadi igauan penduduk setiap kali musim hujan, projek tersebut dipercayai menjadi punca pencemaran air Sungai Tebal, iaitu anak sungai utama Sungai Chepir yang digunakan penduduk.
“Sungai tersebut menjadi sumber utama air penduduk kampung. Kolam tadahan air penduduk sudah diubah tiga kali susulan aktiviti terlarang itu yang menyebabkan air tadahan keruh.
“Ini menyebabkan penduduk terpaksa ambil air dari kawasan tadahan lebih tinggi,” jelasnya.
Mohd Sobri memaklumkan, hasil tinjauan sekitar kampung berdekatan mendapati, terdapat kesan banjir lumpur seperti kayu balak hanyut, kemusnahan sawah padi dan kebun getah serta dusun buah-buahan.
“Berlaku hakisan tebing sungai yang serius dan ia memberi risiko kepada rumah berhampiran tebing sungai, kerana dasar sungai dipenuhi lumpur menyebabkan sungai semakin cetek.
“Banjir lumpur yang kerap menyebabkan penduduk trauma jika berlakunya hujan lebat di sekitar kawasan itu. Paras air naik mendadak sehingga penduduk tidak bersedia dengan kehadiran banjir kilat,” katanya lagi.
Menurutnya, air sungai semakin keruh walaupun sekarang merupakan musim kemarau.
Sedangkan dahulu katanya, kawasan sungai itu menjadi tempat penduduk berkelah dan mencari sumber makanan seperti ikan tengas dan lain-lain.
Mohd Sobri berkata, kesan sampingan lain termasuk bebanan bil air (Syarikat Air Darul Aman) meningkat kerana penduduk perlu membayar jumlah penggunaan air berbanding sebelum ini hanya membayar jumlah tetap tanpa mengira penggunaan air tadahan bukit.
“Sekarang kualiti tadahan air bukit semakin menurun kerana terdapat kerja-kerja di hulu sungai. Bacaan air Sungai Chepir (14 Jun) yang mana ia menjadi sumber air kepada Loji Rawatan Air (LRA) Batu Lima, Sik, juga menunjukkan bacaan kurang baik walaupun tiada hujan di hulu sungai,” katanya.
Menurutnya, dalam persidangan Parlimen Julai tahun lalu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) ketika itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyatakan projek penanaman musang king di Gunung Inas melanggar syarat penanaman ladang hutan, sekali gus mempersoalkan kewajaran ia diteruskan di HSK Rimba Teloi.
“Keadaan itu membuatkan saya dan pasukan meletakkan Rimba Teloi sebagai ‘bom jangka’ seperti mana amaran diberikan terhadap Gunung Inas setahun sebelum kejadian kepala air,” jelasnya.
Pada Julai 2022, Mohd Sobri telah membangkitkan perkara sama dengan memberi amaran kemungkinan terdapat beberapa lagi ‘bom jangka’ alam sekitar yang perlu ditangani segera bagi mengelak tragedi kepala air berulang.
Sebelum itu, pihaknya tidak menolak kemungkinan Kampung Iboi berisiko dilanda banjir besar selepas tragedi di Yan pada 18 Ogos 2021.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!