Empat bot penumpang bawa lebih muatan ditahan

Maritim Malaysia menahan bot penumpang yang membawa lebihan muatan.
Maritim Malaysia menahan bot penumpang yang membawa lebihan muatan.
A
A
A

PORT DICKSON - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan berjaya menahan empat buat bot penumpang kerana membawa lebihan muatan penumpang di perairan Port Dickson, di sini pagi Khamis.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Iskandar Ishak berkata, kesemua bot itu ditahan pada jam 11.15 pagi di kedudukan 0.2 batu nautika barat laut Pantai Tanjung Biru di sini.

"Semasa anggota penguatkuasa Maritim Malaysia sedang melakukan rondaan operasi telah melihat beberapa bot penumpang yang sarat dengan penumpang.

"Pemeriksaan dilakukan mendapati, kesemua empat bot membawa penumpang iaitu pelancong warganegara China itu didapati membawa muatan penumpang melebihi dari had 12 orang penumpang yang dibenarkan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, tindakan pengusaha bot yang tidak mengikut peraturan boleh mengundang bahaya kerana ada di antara bot tersebut membawa penumpang sehingga 33 orang ketika diperiksa.

Selain itu katanya, satu dari empat bot yang diperiksa juga didapati tidak mempunyai lesen yang sah.

Ujarnya, kesemua bot tersebut telah dibawa ke jeti Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk disiasat di bawah Akta Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.

"Maritim Malaysia sentiasa peka dan serius melaksanakan pemantauan operasi dan penguatkuasaan agar keselamatan di laut terjamin.

"Sebarang maklumat salah laku dakecemasan di laut sila laporkan segera ke Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!