Kursi Kepimpinan Islam Sultan Hassanal Bolkiah ditubuhkan di UiTM
BANDAR SERI BEGAWAN - Kursi Kepimpinan Islam Sultan Hassanal Bolkiah akan ditubuhkan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, cadangan penubuhannya telah dipersembahkan dan mendapat perkenan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.
Menurut kenyataan itu,Kursi Kepimpinan Islam Sultan Hassanal Bolkiah akan menumpukan kajian aspek kepimpinan Islam, pengurusan dan pelaksanaan undang-undang syariah.
"Diharap ia akan menjadikan Malaysia dan Brunei sebagai pusat pengembangan ilmu yang berkaitan dengan Kesultanan Melayu khususnya dan kepimpinan umumnya di peringkat antarabangsa.
"Kursi Kepimpinan Islam Sultan Hassanal Bolkiah ini boleh dijadikan pusat pengajian, pusat penyelidikan, pusat rujukan dan pusat pengumpulan dokumentasi berkaitan kesultanan Melayu serta kepimpinan Islam," menurut kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik turut mengadakan kunjungan hormat ke atas rakan sejawatnya, Menteri Pendidikan Brunei, Datuk Seri Setia Awang Hamzah Sulaiman.
Melalui perbincangan itu, Menteri Pendidikan telah mencadangkan agar kolaborasi pendidikan melalui pertukaran guru Brunei dan Malaysia diadakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!