Suapan RM250,000, CEO koperasi bergelar Datuk ditahan

Seorang CEO sebuah koperasi bergelar Datuk ditahan SPRM kerana menerima suapan lebih RM250,000.
Seorang CEO sebuah koperasi bergelar Datuk ditahan SPRM kerana menerima suapan lebih RM250,000.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah koperasi bergelar Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menerima suapan lebih RM250,000.

Sumber berkata, suspek disyaki menerima 'duit kopi' berjumlah ratusan ribu itu daripada pemilik syarikat pembekal makanan dan minuman.

Kata sumber, lelaki berusia lingkungan 40-an itu dipercayai ditahan ketika diminta hadir di SPRM Kuala Lumpur jam 5 petang Rabu.

"Suspek telah meminta dan menerima wang suapan dengan menggunakan kad mesin juruwang automatik (ATM) pemilik syarikat pembekal makanan dan minuman tersebut.

"Ia sebagai balasan membantu mendapatkan kerja-kerja pembekalan bagi sebuah agensi penguat kuasa sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu," kata sumber pada Khamis.

Tambah sumber, kad ATM tersebut dipercayai telah ditemui dalam kawalan orang kena tuduh (OKT), selain suspek mengakui mengeluarkan wang beberapa kali menggunakan kad berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!