'Beri ruang, jadi pendengar terbaik kepada waris mangsa'

Suraida (kanan) menyantuni waris keluarga tragedi dengan melakukan aktiviti permainan bersama mereka. (Gambar kecil: Suraida, Wana)
Suraida (kanan) menyantuni waris keluarga tragedi dengan melakukan aktiviti permainan bersama mereka. (Gambar kecil: Suraida, Wana)
A
A
A

KEMAMAN - Pendekatan memberi masa selain bertanya pada saat waris bersedia adalah kaedah sokongan terbaik diberikan kepada ahli keluarga tragedi kepala air Jeram Air Putih, Kampung Air Putih, di sini, pada Ahad.

Pegawai Psikologi, Suraida Abdullah menasihatkan orang ramai supaya belajar untuk menjadi pendengar yang baik ketika waris tragedi tersebut diuji dengan kehilangan insan tersayang.

"Perkara paling baik kita lakukan adalah belajar untuk mendengar daripada bertanya. Ini kerana secara psikologi dalam keadaan seperti ini, soalan dan segala pertanyaan mengenai kehilangan ahli keluarga sudah tentu memberi kesan kepada mereka.

"Kita memang bertanya sebab ambil berat tapi perlu lihat kepada kesesuaian selain beri ruang pada waris sendiri bercerita.

"Apabila mereka sendiri mula buka mulut maka kita dengar. Belajar untuk baca air muka dan setiap respons mereka," katanya kepada pemberita di sini.

Ahad lalu, sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Pahang dan bakal menantu keluarga tersebut dari Batu Pahat, Johor dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan kepala air.

Setakat ini, lapan jasad sekeluarga mangsa tragedi itu telah ditemukan sejak lima hari operasi pencarian dijalankan bermula Ahad lalu.

Mengulas lanjut, Suraida berkata, pihaknya memberi sokongan moral dan emosi bagi memulihkan kembali semangat waris keluarga berkenaan yang mengalami kehilangan insan tersayang.

Menurutnya, beberapa aktiviti dan permainan seperti mewarna untuk kanak-kanak dalam kalangan waris mangsa dilakukan sebagai usaha membantu mereka mengekspresikan emosi.

"Kanak-kanak ini mereka susah untuk nak berkongsi lebih-lebih lagi apabila sepupu mereka yang hilang berada dalam lingkungan umur sama. Difahamkan mereka juga tinggal berjiran dan mereka hilang kawan rapat disebabkan kejadian itu.

"Semasa kita bertanya, mereka macam berdiam diri. Jadi, permainan dan aktiviti disediakan ini dapat buat mereka selesa dengan kami dahulu sebelum bertanya dengan lebih lanjut," ulasnya.

Sementara itu, adik ipar kepada Azizah Eiyi yang terkorban dalam tragedi tersebut, Wana Zahari, 32, berkata, dia melihat sendiri anak saudaranya terkesan secara emosi akibat kehilangan tujuh sepupu mereka secara serentak.

"Mereka masih belum dapat menerima kejutan itu dan kerap bertanya di mana dan apakah sebenarnya yang berlaku kepada mangsa kerana sering keluar bermain bersama.

"Kita sebagai dewasa kena terangkan. Kakak, abang dah tak ada dan mereka di syurga, itulah yang kami beritahu mereka.

"Tiada keperluan untuk kami sorokkan kenyataan sebenar daripada mereka... insya-ALLAH, mereka akan faham," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi kepala air: Mayat ketujuh disahkan Putri Balqis Izzati

Tragedi kepala air: Mayat ketujuh ditemukan

Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung cari 3 lagi mangsa

Dua lemas, lapan lagi masih hilang dihanyutkan kepala air

Ancaman kepala air, operasi SAR kesan 8 lagi mangsa dihentikan awal

Terkejut, tak percaya keluarga kakak terlibat tragedi kepala air

Tragedi kepala air: Identiti lapan individu dikenal pasti

Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung kesan lapan lagi mangsa

Tragedi kepala air: Hilang sepupu rapat sekelip mata

'Adik sanggup ikat perut nak kahwin hujung tahun ini'

Tragedi kepala air: Jenazah mangsa dibawa ke Felda Lepar Hilir 3

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!