Scam jual kereta, lelaki didakwa tipu pakar bius, dua wanita

Tertuduh didakwa atas pertuduhan menipu tiga individu sebanyak RM37,977 dalam transaksi jual beli kereta.
Tertuduh didakwa atas pertuduhan menipu tiga individu sebanyak RM37,977 dalam transaksi jual beli kereta.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas pekerja sebuah syarikat jualan kereta tempatan didakwa di dua Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis atas pertuduhan menipu tiga individu sebanyak RM37,977 dalam transaksi jual beli kereta.

Muhammad Salleh Masron, 40, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret S Mageswary dan Nurul Izzah Shaharuddin.

Di hadapan Mageswary, lelaki itu didakwa atas dua pertuduhan, iaitu menipu pekerja spa, Siti Habibah Mokhtar, 22, dalam urusan pembelian sebuah Perodua Myvi pada 8 Februari lepas dan eksekutif kanan, Farah Nornadiafatin Adzman Ali, 34, bagi pembelian sebuah Perodua Axia pada 11 Mei lepas.

Kedua-dua mangsa juga menyerahkan wang berjumlah RM23,000 kepada tertuduh di sebuah premis di Kampung Baru di sini dan pertuduhan dikenakan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Di hadapan Nurul Izzah, Muhammad Salleh didakwa melakukan kesalahan serupa dengan memperdayakan pakar bius, Mohammad Azlee Abdul Mutalib, 54, dalam urusan jual beli dua kereta terdiri daripada model Myvi dan Axia sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM14,977 kepada tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Institut Jantung Negara, Jalan Tun Razak di sini pada 18 Ogos 2022, dan dituduh mengikut seksyen dan kanun yang sama.

Muhammad Salleh turut berdepan pertuduhan pilihan memperdayakan Mohammad Azlee berhubung perkara sama pada tarikh dan lokasi sama mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Di hadapan Mageswary, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Nasuha Safian menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin sementara di hadapan Nurul Izzah, Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Amalina Abu Hanifah menawarkan jaminan RM8,000 dan seorang penjamin.

Muhammad Salleh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah dengan alasan dia telah diberhentikan kerja serta menanggung seorang isteri dan dua anak yang masih bersekolah.

Nurul Izzah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Ogos ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam sementara Mageswary membenarkan tertuduh diikat jamin dengan RM5,000 dan seorang penjamin dan menetapkan 14 Ogos ini untuk prosiding yang sama. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!