[VIDEO] Buku Malaysia dan Seabad Tun Dr Mahathir Mohamad bakal diterbit
PUTRAJAYA - Buat julung kalinya Grup Buku Karangkraf menerusi Alaf 21 Sdn Bhd (Alaf 21) bakal menerbitkan sebuah buku yang menampilkan seabad perspektif Negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Firdaus Hussamuddin berkata, buku yang diberi judul Malaysia dan Seabad Tun Dr Mahathir Mohamad itu di dalam proses pengumpulan manuskrip.
"Pada ketika ini sebanyak 40 peratus manuskrip telah disiapkan dan kami sasarkan ia diterbitkan pada tahun ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Khamis.
Beliau berkata, buku tersebut akan diterbitkan di dalam bahasa Melayu dan kemudiannya diterjemah ke dalam bahasa Inggeris.
"Insya-ALLAH buku ini akan dijual pada harga berpatutan bagi memberi peluang kepada semua untuk memilikinya," katanya.
Terdahulu Firdaus menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) menerbitkan buku itu dengan Dr Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri di Yayasan Kepimpinan Perdana.
Ia disaksikan oleh pegawai khas Dr Mahathir, Datuk Mohd Noordin Bachik dan peguam Zuwita Kamaruzaman.
Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Grup Buku Karangkraf, Izzat Izhar Nasir.
Dalam pada itu, Dr Mahathir menyifatkan buku tersebut sangat eksklusif kerana mendedahkan banyak perkara yang tidak diketahui umum.
"Antaranya ramai orang tidak tahu mengenai dasar British kerana tidak tidak ditulis tetapi diamalkan," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!