OCBC jangka BNM kekalkan OPR hingga akhir 2023
OCBC Treasury Research menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) untuk sepanjang tahun ini, selepas mengekalkan kadar pada 3.0 peratus pada Khamis.
Dalam satu nota hari ini, OCBC berkata, keputusan BNM itu adalah selaras dengan konsensus dan dalam jangkaannya.
Berikutan kenaikan 25 mata asas, BNM secara mengejut pada mesyuarat 3 Mei, kami berpendapat bahawa data aktiviti yang lebih lemah dan inflasi yang menurun akan membolehkan bank pusat mengekalkan kadar. Dan ia dikekalkan pada hari ini, katanya.
Menurut OCBC, BNM mengakui bahawa "ekonomi Malaysia berkembang pada kadar yang lebih sederhana dalam beberapa bulan kebelakangan ini apabila eksport terjejas oleh permintaan luar yang lebih perlahan”.
"BNM, walau bagaimanapun, berpegang pada jangkaan 'permintaan domestik yang berdaya tahan' yang menjadi pemacu utama pertumbuhan bagi baki tahun 2023. Secara khususnya, BNM menyatakan bahawa 'ketibaan pelancong telah bertambah baik secara berterusan, dan dijangka terus meningkat',” kata OCBC.
Bank itu melihat bahawa perubahan yang lebih besar adalah pada penilaian BNM terhadap tekanan inflasi.
BNM menyatakan bahawa pendirian dasarnya masih "sedikit akomodatif", sama seperti mesyuaratnya pada 3 Mei, dan menekankan bahawa data akan kekal sebagai sumber maklumat utama dalam menilai prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri, kata OCBC. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: OPR kekal selaras penurunan inflasi Malaysia - MOF
OPR semasa sesuai dengan keadaan ekonomi kukuh - BNM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!