Tujuh jam dilancar, Threads melepasi 10 juta pengguna

Pesaing Twitter, Threads, menarik lebih 10 juta pengguna dalam beberapa jam selepas dilancarkan.
Pesaing Twitter, Threads, menarik lebih 10 juta pengguna dalam beberapa jam selepas dilancarkan.
A
A
A

BERLIN - Pesaing Twitter, Threads, menarik lebih 10 juta pengguna dalam beberapa jam selepas dilancarkan oleh syarikat induk Facebook, Meta, kata ketua eksekutif Mark Zuckerberg pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Platform baharu, yang mirip format Twitter itu, disambungkan ke platform foto dan video Instagram Meta.

Zuckerberg berkata, ia hanya mengambil masa tujuh jam untuk melepasi 10 juta pengguna.

Meta berkata, Thread tersedia di Amerika Syarikat dan lebih 100 negara lain kecuali di Kesatuan Eropah (EU) disebabkan persoalan mengenai peraturan yang belum diselesaikan.

Eksekutif Instagram, Adam Mosseri dalam temu bual berkata, peraturan baharu EU di bawah Akta Pasaran Digital dan Akta Perkhidmatan Digital blok itu, yang akan berkuat kuasa tahun depan, menjadi antara penghalang. Undang-undang itu mengandungi keperluan yang ketat bagi platform atas talian yang utama.

Dalam temu bual dengan saluran berita industri teknologi Platformer, Mosseri mempertahankan keputusan untuk melancarkan platform itu tanpa pengguna EU.

Beliau berkata syarikat itu terpaksa memilih sama ada untuk mengecualikan pengguna di EU atau menangguhkan pelancaran selama berbulan-bulan.

"Dan saya bimbang peluang akan ditutup, kerana masa sangat penting."

Pelancaran Threads dibuat tepat ketika Twitter berdepan masalah ekoran gangguan dan ketidakstabilan sejak platform itu diambil alih oleh jutawan Elon Musk.

Twitter sekali lagi menimbulkan kemarahan pengguna pada hujung minggu apabila ia mengenakan had baharu yang drastik pada bilangan tweet yang boleh dilihat pengguna setiap hari. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!