Razman pelawa MCA, MIC sertai PN
IPOH - Dua parti kompenan Barisan Nasional (BN), MCA dan MIC dipelawa untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) susulan keputusan tidak bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri bulan depan.
Perkara itu disuarakan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria yang mencadangkan agar pemimpin kedua-dua parti mengadakan rundingan bersama pucuk pimpinan PN.
Menurutnya, penyertaan MCA dan MIC dalam PN diyakini mampu menarik sekurang-kurangnya 20 hingga 30 peratus sokongan pengundi kaum masing-masing.
"Kalau MCA dan dan MIC sudah merasa tidak mewakili lagi kaum Cina dan India, saya cadangkan mereka bolehlah berjumpa dengan pucuk pimpinan PN untuk membolehkan (rundingan).
"Maka kita boleh mewujudkan pentadbiran politik dalam negara kita ini, mewujudkan keharmonian dan mengelakkan ketegangan antara kaum," katanya dalam perkongsian video di Twitter pada Khamis.
Dalam video berdurasi 1 minit dan 26 saat yang dimuat naik sekitar jam 8 malam itu, Razman turut menyifatkan perjuangan dibawa MCA dan MIC jauh lebih baik berbanding parti kaum lain dalam Pakatan Harapan (PH).
Kata Ketua Pembangkang DUN Perak itu, prinsip MCA dan MIC yang tidak mengamalkan politik ekstrem boleh membantu PN membina semula negara dalam keadaan lebih aman.
"Mereka ni bagus, parti kaum yang tidak ekstrem untuk bersama-sama kita sebab kita kena pegang satu prinsip bahawasanya Malaysia ini mesti diletak pada kaum yang majoriti beragama Islam.
"Kalau PH semua orang tahu, mereka ini dikuasai DAP. Walaupun di depannya itu kita lihat orang Melayu tetapi Melayu ini membuat keputusan berdasarkan kehendak dan persetujuan DAP," katanya.
Media sebelum ini melaporkan MCA dan MIC memutuskan untuk tidak bertanding dalam PRN pada 12 Ogos ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijalankan secara serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!