Latihan luar negara pacu standard atlet

Sharon. - Foto Agensi
Sharon. - Foto Agensi
A
A
A

PARA pemain skuasy perlu diberi peluang untuk 'berguru' di luar negara dalam usaha melahirkan atlet bertaraf dunia.

Timbalan Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Sharon Wee berkata, menerusi pendedahan dan penyertaan pada kejohanan di pentas antarabangsa ia mampu meningkatkan standard permainan mereka.

Katanya, pengalaman beraksi di luar negara juga boleh mendorong para pemain untuk lebih bermotivasi, meningkatkan keyakinan diri serta memiliki minda yang sangat positif.

“Labur untuk mereka. Hantar latihan di luar negara untuk tempoh tertentu, selain beraksi pada kejohanan di pentas antarabangsa,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Sharon yang berpengalaman berlatih di Amsterdam, Belanda bersama legenda skuasy negara, Datuk Nicol David berkata, ia menjadi satu pengalaman yang berharga buat mereka.

“Bila anda keluar dan melihat sendiri daripada segi psikologi membuka minda anda. Di mana standard kita berbanding dengan pemain terbaik lain.

“Baru kita tahu di mana standard kita dan ia mendorong anda untuk tingkatkan lagi prestasi.

“Setiap hari kita berlatih bersama pemain terbaik. Apabila pada latihan atau kejohanan anda mengalahkan mereka.

“Minda kita menjadi lebih fantastik, Keyakinan meningkat dan anda bersedia untuk kejohanan lain untuk bawa kemenangan buat negara,” katanya.

Nicol baru-baru ini menyifatkan barisan pemain skuasy negara memerlukan lebih banyak pendedahan menerusi penyertaan dalam kejohanan peringkat antarabangsa bagi mencapai tahap permainan sepertinya.

Dia merupakan pemegang rekod pemain wanita paling lama berada di ranking nombor satu dunia selama 112 bulan sejak 2006 sebelum mengumumkan persaraan pada 2019.

Atlet kelahiran Pulau Pinang itu pernah memenangi gelaran Terbuka Dunia pada 2005, 2006, 2008, 2009 dan 2010.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!