JDT tak ambil mudah cabaran Jang
AKSI Liga Super berdepan Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Sabtu ini tidak boleh diambil mudah oleh kesebelasan JDT di sebalik prestasi turun naik lawan sejak kebelakangan ini.
Pengendali JDT, Esteban Solari berkata, biarpun pernah menewaskan skuad Hoben Jang Hoben itu 7-0 pada aksi pusingan pertama Liga Super di Paroi 6 Mac lalu, kesemua pemain masih perlu berwaspada menentang skuad kendalian K.Devan itu.
“Perlawanan ini akan menjadi satu perlawanan yang baharu. Perlawanan pertama sebelum ini juga sebenarnya tidak semudah yang disangka.
“Pada perlawanan itu, kami hanya dapat bermain secara ‘terbuka’ setelah berjaya menjaringkan gol.
“Pasukan ini (Negeri Sembilan) memang sukar dijangka...apabila mereka benar-benar fokus maka mereka memang sukar untuk ditandingi,” katanya.
Untuk rekod, JDT kini gah di puncak Liga Super dengan 45 mata hasil 15 kemenangan berturut-turut berbanding Negeri Sembilan FC yang berada pada kedudukan kesembilan dengan 19 mata hasil empat kemenangan, seri tujuh kali dan tewas tujuh kali daripada 15 perlawanan setakat ini.
Sementara itu, Solari turut mengingatkan pemain untuk memberikan aksi terbaik dalam usaha meraih tiga mata berharga di laman sendiri.
Malah katanya, pemain juga diharap tidak melakukan kesilapan mudah kerana ia boleh mengundang padah buat pasukan.
“Perlawanan dengan Negeri Sembilan FC ini merupakan satu lagi cabaran yang perlu diharungi...tetapi bagi saya, cabaran seperti ini adalah baik buat pasukan dalam usaha menjadi pasukan yang lebih baik.
“Tetapi, dalam masa yang sama, kami juga tidak rela untuk keciciran mata dan itu membuatkan kami perlu bersedia secukupnya bagi perlawanan ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!