Ramadan bulan untuk kawal nafsu: Tun Mahathir
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru umat Islam agar menjadikan bulan Ramadan sebagai bulan untuk mengawal nafsu dan bukan semata-mata bulan untuk beribadah.
"Kita anggap puasa ini sebagai satu ibadah yang penting dalam membentuk peribadi kita. Kerana dalam bulan puasa kita mengawal diri daripada melakukan apa-apa yang dilarang oleh agama Islam khususnya, bukan hanya tak boleh makan tetapi masih banyak lagi yang perlu kita kawal.
"Ini adalah khasiat daripada amalan puasa pada bulan Ramadan. Insya-Allah kita akan dapat berpuasa dalam keadaan yang sempurna dan saya harap kita semua akan menjadi manusia yang lebih baik kerana kawalan diri yang kita amalkan," katanya dalam rakaman perutusan Ramadan yang disiarkan di saluran TV1 malam ini.
Dalam pada itu, Dr Mahathir juga mengingatkan umat Islam supaya tidak melakukan pembaziran dengan membeli juadah secara berlebihan di bazar Ramadan.
Katanya walaupun peniaga di bazar Ramadan mengharapkan untuk mendapat pendapatan lebih, tetapi dalam masa yang sama umat Islam yang berpuasa mesti mengawal diri daripada membazir wang yang ada. Terdahulu Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan umat Islam Malaysia akan mula berpuasa pada esok (Isnin), 6 Mei 2019.
Syed Danial berkata tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari itu menurut perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!