Twitter ancam saman Meta susulan pelancaran Threads
TWITTER mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Meta Platforms susulan pelancaran aplikasi Threads.
Portal berita Semafor menyebut, surat saman tersebut dihantar oleh peguam lantikan Twitter, Alex Spiro kepada Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg.
Dalam suratnya, Spiro mendakwa, Meta telah mengupah bekas kakitangan Twitter yang memiliki akses kepada rahsia perniagaan aplikasi media sosial itu.
Menurut Spiro, sekiranya Twitter mahu menguatkuasakan hak harta inteleknya dengan ketat, ia juga berhak menuntut agar Meta mengambil langkah segera untuk berhenti menggunakan apa-apa rahsia perniagaan Twitter atau maklumat rahsia operasi.
Bagaimanapun, jurucakap Meta, Andy Stone menegaskan, tiada mana-mana kakitangan kejuruteraan Meta yang pernah bekerja di Twitter, sekali gus menafikan dakwaan yang dibuat oleh Spiro.
Competition is fine, cheating is not
— Elon Musk (@elonmusk) July 6, 2023
Sementara itu, pemilik Twitter, Elon Musk berkata: "Persaingan adalah baik, namun bukan peniruan," sebagai respons terhadap isu hak cipta kedua-dua platform tersebut.
Aplikasi Threads yang dilancarkan Meta pada Rabu lalu sehingga kini telah berjaya menarik perhatian lebih 30 juta pengguna sekali gus memperlihatkan ancaman kepada Twitter.
Meta yang diasaskan oleh Zuckerberg juga memiliki platfrom popular Instagram dan Facebook. - Awani/Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!