Bekas pemain bola sepak ditahan terlibat kes samun
PONTIAN - Seorang bekas pemain bola sepak yang dipercayai pernah beraksi untuk beberapa pasukan utama Liga Super ditahan selepas terbabit kes pecah rumah dalam kejadian di Benut di sini pada Isnin lalu.
Menurut sumber, suspek yang berusia 33 tahun itu diberkas selepas melakukan jenayah pecah rumah sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian puluhan ribu ringgit.
Katanya, lelaki terbabit diberkas polis selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan sebelum mendapati dia disyaki terbabit dengan kejadian pecah rumah.
“Apabila polis cuba menahannya, suspek yang enggan memberikan kerjasama cuba bertindak agresif menyebabkan berlaku sedikit pergelutan.
“Hasil siasatan, suspek mengaku melakukan aktiviti pecah rumah sebelum dia bersama seorang lagi rakannya menunjukkan lokasi di mana hasil rompakan disimpan,” katanya.
Menurutnya, bekas pemain bola sepak itu bersama rakannya di tahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi Superintenden Abdul Hamid Abd Rahman mengesahkan kejadian dan memaklumkan kes terbabit masih dalam siasatan.
Mengikut rekod, bekas pemain bola sepak terbabit pernah beraksi bersama beberapa pasukan gergasi Liga Super di selatan dan utara tanah air.
Malah, dia juga pernah berkelana ke Liga Thailand selama dua tahun selain turut menjalani pemilihan bersama kelab berpengkalan di Jepun.
Kali terakhir dia beraksi bersama pasukan Liga Super adalah pada 2018 bersama kelab berpengkalan di utara tanah air sebelum bekas pemain itu dikatakan menukar haluan dengan bermain bersama skuad Liga M3.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!