Ribut pasir, lebih 800 penduduk Iran dikejarkan ke hospital

Sebanyak 833 penduduk Sistan dan Baluchestan dirujuk ke pusat perubatan di wilayah tenggara Iran sejak lima hari lalu akibat masalah kesihatan disebabkan oleh ribut pasir. - Foto 123RF
Sebanyak 833 penduduk Sistan dan Baluchestan dirujuk ke pusat perubatan di wilayah tenggara Iran sejak lima hari lalu akibat masalah kesihatan disebabkan oleh ribut pasir. - Foto 123RF
A
A
A

TEHERAN - Sebanyak 833 orang penduduk Sistan dan Baluchestan dirujuk ke pusat perubatan di wilayah tenggara Iran sejak lima hari lalu akibat masalah kesihatan yang disebabkan oleh ribut pasir, Xinhua memetik laporan Agensi Berita IRIB Iran pada Khamis.

Ketua Organisasi Pencegahan dan Pengurusan Bencana wilayah, Majid Mohebi memberitahu, IRIB bahawa 128 daripada mereka dimasukkan ke hospital kebanyakannya kerana masalah pernafasan, jantung atau keadaan mata yang disebabkan oleh ribut pasir.

Ketua Persatuan Bulan Sabit Merah Sistan dan Baluchestan, Seyed Mohammad Mehdi Sajjadi berkata, lebih 6,000 pelitup muka disediakan kepada penduduk wilayah yang terjejas.

Angin kencang dijangka berterusan dalam beberapa hari akan datang, yang mungkin menyebabkan lebih banyak ribut pasir, ketua pengarah organisasi meteorologi wilayah itu, Mohsen Heidari dipetik sebagai berkata.

Wilayah itu biasanya mengalami angin musim panas yang kuat dari akhir Mei hingga akhir September pada setiap tahun. - Bernama/Xinhua

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!