Sindiket edar dadah tumpas, RM1.2 juta barang disita

Jauteh menunjukkan barangan kemas dan berharga yang berjaya dirampas dalam siri serbuan di beberapa lokasi di Sabah.
Jauteh menunjukkan barangan kemas dan berharga yang berjaya dirampas dalam siri serbuan di beberapa lokasi di Sabah.
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis Sabah berjaya mematahkan sindiket pengedaran dadah di negeri ini menerusi beberapa siri tangkapan sepanjang minggu ini.

Rampasan kali ini melibatkan 14 kilogram dadah jenis syabu dengan nilai sitaan RM1.2 juta termasuk rampasan wang tunai, barang kemas dan berharga selain seramai lima suspek berusia antara 17 hingga 40-an ditahan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, tangkapan pertama pada jam 11.45 pagi Isnin lalu selepas sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dengan bantuan daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kinabatangan.

"Serbuan dilakukan terhadap sebuah kenderaan di Kilometer 68 Jalan Sandakan-Lahad Datu dan terdapat seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun dilihat sedang meletakkan sebuah kotak ke dalam bonet kereta.

"Hasil pemeriksaan berjaya merampas 10 bungkusan berisi disyaki syabu dengan berat kasar 10.05 kilogram bernilai kira-kira RM600,000 mengikut harga pasaran Sabah dalam kotak yang dibawa lelaki tersebut," katanya dalam sidang akhbar di IPK Sabah pada Jumaat.

Katanya lagi, dalam tangkapan di daerah lain sebanyak lebih empat kilogram dadah berjaya dirampas di Semporna, Inanam dan juga Tuaran.

"Seorang lelaki tempatan dan lelaki asing ditahan bersama 2.03 kilogram syabu bernilai RM120,000 pada Isnin lalu di Semporna. Sementara itu keesokan harinya, di Inanam, seorang remaja lelaki warga asing turut ditahan bersama 1.07 kilogram dadah dan seorang lagi lelaki warga asing berusia 33 tahun turut ditahan bersama 1.05 kilogram syabu.

"Rampasan setakat ini adalah membabitkan wang tunai sebanyak RM164,000, barang kemas RM172,000, barangan ekslusif membabitkan beg dan jam tangan bernilai RM90,000 serta 11 kenderaan yang dipercayai hasil daripada aktiviti ini bernilai RM790,000 dengan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM1.2 juta," katanya.

Tambah Jauteh lagi, syabu yang berjaya dirampas itu mampu menampung sehingga 50,000 penagih dadah dan ini merupakan rampasan terbesar untuk suku tahun ini bagi IPK Sabah.

"Siastan mendapati ada tangkapan dipercayai mulai aktif pada awal tahun ini dan syabu yang diedar untuk pasaran tempatan dan luar negara.

"Semua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!