PRN: Sentuh isu 3R berdepan tindakan tegas - KPN

Razarudin
Razarudin
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati memainkan isu 3R iaitu agama, bangsa dan raja ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan dijalankan kelak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis sama sekali tidak akan berkompromi berkaitan isu terbabit dan mana-mana pihak yang didapati melakukannya akan diambil tindakan berlunaskan undang-undang yang ditetapkan di negara ini di bawah Akta Pilihan Raya.

"Isu sensitif melibatkan 3R ini tidak kira mana-mana pihak sama ada orang awam, ahli perniagaan atau ahli politik sekali pun, jika menyentuh mengenainya kita akan siasat.

"Sama ada saya sendiri kalau saya ada sebut berkaitan isu berkenaan, saya juga sedia disiasat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Mess Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Selangor pada Jumaat.

Dalam pada itu, Razarudin berkata, pihaknya bertanggungjawab dalam memastikan suasana sepanjang PRN berjalan lancar.

"Kita mahu proses demokrasi dan keamanan berjalan dengan lancar serta terjamin sepanjang berlangsungnya PRN ini, jadi ingatan saya kepada semua agar jangan sesekali mencetuskan isu yang sensitif.

"Pemantauan akan dijalankan oleh anggota dan pegawai terlibat sepanjang tempoh berkempen dan siasatan berkenaan isu 3R akan disiasat sama ada daripada pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) atau diserahkan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman," jelasnya.

28 Jun lalu, media melaporkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempertikai arahan supaya tidak menyentuh isu sensitif 3R iaitu bangsa, agama dan institusi diraja ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, tiga perkara tersebut tidak harus ditinggalkan lantaran sudah termaktub dalam Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!