PH Selangor tidak sisih MCA, MIC
SHAH ALAM - Peranan MCA dan MIC harus dilibatkan dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor walaupun dua parti itu mengumumkan untuk tidak bertanding.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, semangat perpaduan perlu dikekalkan bagi membantu calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan.
Menurutnya, malah MCA dan MIC juga akan dilibatkan dalam pentadbiran kerajaan negeri jika gabungan parti Kerajaan Perpaduan di Selangor dapat dipertahankan pada PRN tidak lama lagi.
"Keputusan (MCA dan MIC untuk tidak bertanding) itu kita harus hormati tetapi peranan mereka juga harus dilibatkan dalam kempen (pilihan raya) dan pentadbiran pada masa depan.
"Saya bersedia menyebutkan perkara itu kerana kita mengekalkan konsep dan polisi perpaduan yang saya anggap satu jawapan kepada ketidaktentuan politik tercipta pada tahun 2020.
"Jadi jawapan itu pasti sedang dikembangkan tetapi kita mahu ramai lagi terlibat dan bersama sama, 'lebih banyak kepala lebih baik' cuma pengurusan dan pentadbirannya akan dibuat," katanya.
Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor berkata demikian pada Majlis Penyerahan Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor 2023 di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 13 di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau juga menolak pandangan bahawa DAP terlalu yakin dapat mengekalkan kerusi dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 sehingga menyisihkan peluang MCA dan MIC bertanding.
"Saya percaya kepada sebarang koalisi ia bukan masalah siapa yakin atau siapa tidak yakin tetapi kita masih dalam negosiasi dan sebagainya dan tidak timbul isu kita menyisihkan sesiapa.
"Sebab itu saya sangat terbuka mereka (MCA dan MIC) perlu terlibat dengan kita sepanjang kempen dan selepas kita menubuhkan kerajaan bersama kemudiannya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!