Roihan Ang pecah rekod MBR selam 164 meter di Sipadan

Roihan melakukan selaman di kedalaman 164 meter di Pulau Sipadan, Semporna, sekali gus berjaya menerima pengiktirafan daripada MBR.
Roihan melakukan selaman di kedalaman 164 meter di Pulau Sipadan, Semporna, sekali gus berjaya menerima pengiktirafan daripada MBR.
A
A
A

KOTA KINABALU - Anak jati Semporna, Roihan Ang, menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR) selepas menjadi penyelam pertama yang berjaya menyelam pada kedalaman 164 meter di perairan Pulau Sipadan.

Pemuda berusia 31 tahun itu melakukan selamannya pada 28 Mei lalu sebelum menerima pengiktirafan tersebut di pejabat MBR di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Roihan berkata, dia bergiat aktif dalam sukan menyelam sejak berusia 10 tahun pada 2002 dan mula menyimpan impian melakukan selaman di dasar laut pada kedalaman yang agak mencabar.

"Saya mengambil masa selama tiga jam dan 30 minit untuk berada di dalam air dengan dibantu oleh 18 kru serta menggunakan lapan tangki menyelam pelbagai untuk merealisasikan rekod berkenaan.

"Selain itu saya juga turut membuat persediaan sejak dua tahun lalu dan berlatih secara intensif bersama jurulati, Ahmad Gabr yang juga pemegang rekod Guiness World Record sejak setahun lalu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Katanya lagi, pengiktarafan yang diterimanya itu dapat membuka ruang dan peluang menjadikan Semporna sebagai hub selaman teknikal selain selaman rekrasi dan makro.

Roihan (tengah) menerima sijil MBR daripada Penolong Pengurus Pemasaran MBR, Jeska Seah (kanan) dengan diiringi oleh Awang Ahmad Zaki (kiri) di pejabat MBR di Kuala Lumpur.
Roihan (tengah) menerima sijil MBR daripada Penolong Pengurus Pemasaran MBR, Jeska Seah (kanan) dengan diiringi oleh Awang Ahmad Zaki (kiri) di pejabat MBR di Kuala Lumpur.

"Saya pilih Pulau Sipadan kerana ia sebuah lokasi popular di dunia untuk aktiviti menyelam dan amat sesuai untuk melakukan selaman di laut dalam.

"Memandangkan saya sendiri anak jati Semporna, saya ingin mempromosikan Sipadan sebagai lokasi hub selaman di dasar laut dalam," katanya.

Roihan dalam pada itu turut melahirkan penghargaannya kepada Taman-Taman Sabah dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) di atas sokongan dan kerjasama yang diberikan sepanjang persediaan program berkenaan.

Sementara itu, jurulatih penyelam, Ahmad Gabr berkata, pengiktirafan itu merupakan detik sejarah yang cukup membanggakannya sebagai anak tempatan kerana dapat membuat selaman di kampung halamannya sendiri.

"Antara latihan yang digunakan terhadap Roihan ialah kaedah 'diving open circuit trimix dive' bagi merealisasikan rekod berkenaan," katanya.

Sementara itu, pengurus program berkenaan, Awang Ahmad Zaki Abu Bakar berkata, Malaysia terutamanya Sipadan mempunyai persekitaran yang amat sesuai bagi aktiviti 'deep dive'.

"Bagaimanapun negara masih mempunyai kekurangan dalam aspek pengetahuan dan teknik deep dive dan berharap program berkenaan dapat menjadi perintis untuk melahirkan lebih ramai pelapis untuk meneruskan usaha tersebut," katanya.

Awang Ahmad Zaki berkata, pasukan itu akan meneruskan latihan memecah rekod 164 meter kepada 200 meter pada Januari depan dan mana-mana pihak yang berminat turut dipelawa untuk menyertai sebagai penaja.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!