ECER rai 530 graduan sempena Majlis Apresiasi Pembangunan Modal Insan Pahang
KUANTAN - Seramai 530 graduan East Coast Economic Region (ECER) menerima sijil masing-masing bersempena Majlis Apresiasi Pembangunan Modal Insan Negeri Pahang bagi Sesi 2020-2023 di sini, pada Selasa.
Program yang dilaksanakan secara usaha sama antara Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan penyedia latihan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM), Universti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ini memberikan manfaat dan impak yang besar kepada peningkatan sosioekonomi terutamanya rakyat negeri Pahang.
Seramai 1,263 graduan ECER berjaya menamatkan latihan melalui Program Yayasan Petronas empower ECER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan, Program Entrepreneur ECER, Program empower ECER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan UMP.
UMP Advanced selaku rakan pelaksana bagi Program empower ECER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan UMP juga telah berjaya melatih seramai 606 peserta dalam meningkatkan kemahiran dan keusahawanan masing-masing.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penglibatan ECERDC dalam pembangunan modal insan negeri oleh Kerajaan Pahang juga dapat meningkatkan sosioekonomi serta mengecilkan jurang pembangunan di kawasan luar bandar berbanding kawasan bandar.
“Semenjak penubuhan ECERDC ini, kita dapat melihat peningkatan sosioekonomi dalam kalangan masyarakat Orang Asli begitu tinggi apabila wujudnya pembangunan modal insan.
“ECERDC telah mengambil inisiatif secara terus untuk membantu supaya kadar keciciran Orang Asli ini dapat diturunkan,” jelasnya ketika ditemui pada majis berkenaan.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Indera Zulkifili Yaacob, barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, beliau berharap lebih ramai penglibatan rakyat Pahang di dalam bidang keusahawanan dan ekonomi pada masa akan datang dan mensasarkan pembangunan lebih agressif di kawasan Pahang Barat dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!