KPDN serbu stor haram simpan LPG
KUALA PILAH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Pilah telah menyita 73 tong berisi gas petroleum cecair (LPG) dan 49 tong kosong LPG bernilai RM11,309.40 dalam serbuan di sebuah stor premis perniagaan di sini pada Khamis.
Serbuan pada jam 11.30 pagi itu melibatkan seramai tujuh pegawai penguat kuasa dan dilakukan selepas hasil risikan selama dua minggu.
Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, stor menyimpan LPG itu disyaki beroperasi tanpa lesen yang sah.
"Pemeriksaan menyeluruh oleh pasukan serbuan telah menemukan tong LPG yang disimpan di dalam stor yang terletak di bahagian belakang premis perniagaan bagi mengelak kegiatan haram itu dihidu oleh pihak berkuasa.
"Pemilik premis yang ditemui semasa serbuan telah diperiksa dan gagal mengemukakan lesen yang sah atau sebarang kebenaran bertulis daripada pihak KPDN," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, satu kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
Tambahnya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama jika melibatkan individu.
"Sebaliknya jika melibatkan pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta. Skop siasatan juga adalah bagi mengenal pasti rantaian bekalan yang terlibat serta melihat sekiranya wujud aspek penyelewengan lain.
"KPDN juga ingin memberikan amaran kepada mana-mana pihak yang berurusan dengan barang kawalan agar mematuhi perundangan yang berkuatkuasa," katanya.
Ujarnya, mereka yang didapati melakukan kesalahan akan di ambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!