Penduduk Felda Jengka 24 'dihantui' kes pecah rumah
JENGKA - "Tiga cincin kesayangan saya hilang, sedih sangat sebab setiap satu ada nilai sentimental tersendiri," luah seorang penduduk, Salmah Abdul Latif, 60, dari rancangan Felda Jengka 24 di sini.
Warga emas itu antara mangsa beberapa siri kejadian pecah masuk rumah dan kecurian kerap berlaku di kawasan itu sejak kebelakangan ini.
Situasi itu menyebabkan kira-kira 2,000 penduduk termasuk 292 peneroka resah dan berharap tindakan segera diambil pihak berkuasa.
Dalam kejadian yang berlaku sebelum Aidiladha lalu, Salmah dan ahli keluarganya tiada di rumah sebelum menyedari kediaman mereka telah dimasuki pencuri.
"Balik rumah tengok-tengok pintu sudah terkopak, tombol pun tertanggal. Apabila diperiksa, cincin-cincin yang disimpan dalam laci pakaian sudah hilang.
"Sedih kerana setiap cincin ada kenangan, satu diberikan oleh arwah suami pertama, satu lagi oleh suami sekarang, Isemon Md Yusof, 65, dan selebihnya pemberian anak-anak yang berkongsi duit sempena sambutan Hari Ibu," kata warga emas itu yang mengalami kerugian dianggarkan RM3,500.
Seorang lagi penduduk, Mahani Muhammad, 60, memberitahu, sebanyak RM1,500 hasil daripada duit tabung milik anak lelakinya berusia 28 tahun hilang sebelum Aidiladha.
"Anak hanya sedar bila tabung duitnya semakin ringan dan bila diperiksa, ternampak kesan umpilan pada tingkap berhampiran tabung.
"Pencuri itu pula hanya ambil duit not RM100 dan RM50, yang lain tidak ambil, kesian pada anak sebab mungkin dia kumpul untuk kahwin sebab masih bujang," jelas Mahani.
Sementara itu, Ketua Peneroka, Razak Daud memberitahu akan mewujudkan semula aktiviti rondaan dan sekatan di pos melibatkan anggota Rela untuk mengatasi masalah tersebut selepas ia terhenti sejak beberapa tahun lalu.
"Kita juga akan melibatkan golongan belia untuk membuat rondaan bagi mengelakkan kejadian sama berulang demi keselamatan dan kesejahteraan penduduk," tambah beliau.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitenden Mazlan Hassan ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan mengenai kes kecurian di rancangan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!