Usaha kembalikan Pernas bawah KPDN sedang dibuat - Salahuddin
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, beliau sudah menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim awal tahun ini serta mengadakan perbincangan bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berkaitan perkara itu.
"Bagaimanapun, itu (keputusan) terpulang kepada Kabinet untuk memutuskan sama ada Pernas dikembalikan di bawah KPDN atau sebaliknya,” katanya selepas melancarkan Ekspo Francais Peruncitan dan Francais Antarabangsa Malaysia (FE MIRF 2023) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Jumaat.
Menurut Salahuddin, buat masa ini akta berkaitan francais termasuk pendaftaran berada di bawah seliaan KPDN manakala latihan dan bimbingan berkaitan pembangunan francais di bawah kuasa KUSKOP.
"Terpulang kepada Datuk Seri Anwar dan Kabinet kerana beliau (Anwar) juga memahami bahawa KPDN hanya mempunyai tiga agensi iaitu Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
"Jika Pernas di bawah kementerian ini (KPDN), maka ia boleh jadikan bidang francais ini memberi kesan langsung kepada usahawan-usahawan di negara ini,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai perkembangan industri francais setakat ini, Salahuddin berkata, pihaknya menyasarkan nilai jualan sebanyak RM30 bilion dalam industri berkenaan menjelang akhir tahun ini.
Mengenai FE MIRF yang berlangsung hari ini hingga Ahad, beliau berkata, ekspo yang melibatkan hampir 400 gerai jualan dan 200 pempamer itu menyasarkan menarik pelaburan dalam bidang francais dan peruncitan berjumlah RM120 juta ke negara ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!