Ahli perniagaan didakwa kemuka tuntutan palsu bekalan minyak masak
Teh Kok Hong, 34, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.
Lelaki itu didakwa memberikan 16 set dokumen iaitu Penyata Tuntutan Bayaran Bantuan Kewangan Kepada Kilang Penapis/Pembungkus Minyak Masak Sawit Tulen bagi tarikh antara 4 September 2019 dan 30 April 2020 berjumlah RM258,426, yang mengandungi butiran palsu kepada dua ejen KPDNHEP, dengan niat hendak memperdayakan kementerian itu.
Tuntutan berkenaan didakwa mengandungi butiran palsu yang pembekalan minyak masak tersebut tidak pernah dilaksanakan.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Bahagian Subsidi dan Bekalan Cawangan Analisa Perakaunan Industri, Bahagian Perdagangan Dalam Negeri, KPDNHEP di Putrajaya antara 25 September 2019 dan 12 Mei 2020.
Pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda tuntutan palsu atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM Zander Lim Wai Keong menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan, namun peguam P Sandrasegaran, mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan rendah atas alasan anak guamnya yang berniaga di Batu Pahat, Johor telah memberi kerjasama penuh kepada SPRM sepanjang siasatan kes itu.
Mahkamah membenarkan Kok Hong diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan memerintahkan tertuduh melaporkan diri ke pejabat SPRM di Johor sebulan sekali sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 11 September ini untuk sebutan semula kes. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!