Mayat dalam but kereta: 7 lagi ditahan
SHAH ALAM - Polis menahan tujuh lagi suspek bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki warga Indonesia, dalam keadaan berbungkus dengan plastik hitam dan terikat dalam but sebuah kereta di tepi jalan berhampiran Taman Sri Orkid, Seksyen 30, di sini pada Selasa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintenden Ramsay Anak Embol berkata, kesemua suspek yang ditahan merupakan lelaki warga Indonesia, dan kini direman tujuh hari bermula Jumaat.
Sebelum ini Bernama melaporkan, polis menahan empat suspek termasuk seorang wanita warga Indonesia bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat tersebut.
Kesemua suspek direman sehingga 10 Julai itu, disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selain motif kejadian dipercayai berpunca daripada rasa cemburu.
Polis menerima laporan berhubung penemuan mayat itu, selepas orang awam yang melalui kawasan berkenaan tercium bau busuk daripada sebuah kereta Honda City berwarna hitam, yang dikatakan berada di lokasi itu selama beberapa hari. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!