Hampir 80,000 calon lepasan SPM ditawarkan tempat ke UA

Seramai 79,668 daripada 144,911 calon lepasan SPM yang membuat permohonan bagi melanjutkan pengajian melalui UPUOnline, ditawarkan tempat ke UA bagi sesi akademik 2023/2024. - Gambar hiasan
Seramai 79,668 daripada 144,911 calon lepasan SPM yang membuat permohonan bagi melanjutkan pengajian melalui UPUOnline, ditawarkan tempat ke UA bagi sesi akademik 2023/2024. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Seramai 79,668 daripada 144,911 calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang membuat permohonan bagi melanjutkan pengajian melalui UPUOnline, ditawarkan tempat ke universiti awam (UA) bagi sesi akademik 2023/2024, demikian menurut Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

KPT dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Jumaat memaklumkan, mereka yang ditawarkan ke UA itu adalah untuk pengajian asasi, diploma dan ijazah sarjana muda.

Menurut kenyataan itu, seramai 65,243 calon SPM pula, ditawarkan melanjutkan pengajian di politeknik, kolej komuniti (KK) dan institusi latihan kemahiran awam (ILKA), yang menawarkan program pengajian dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

"Sebanyak 500 program pengajian ditawarkan bagi sesi 2023/2024, iaitu 47 pengajian asasi, 309 (diploma), satu (ijazah sarjana muda) dan 143 (sijil).

"Kemasukan pelajar ke institusi tersebut dibuat berasaskan prinsip meritokrasi, dengan menyusun semua calon yang layak tanpa mengira kaum, agama, jantina, negeri, taraf hidup dan tempat tinggal mengikut markah merit tertinggi hingga terendah,” menurut kenyataan itu.

Prinsip meritokrasi ialah berasaskan 90 peratus pencapaian akademik dan 10 peratus pencapaian kokurikulum.

"Seramai 61,286 calon lelaki dan 83,625 calon perempuan berjaya mendapat tawaran kemasukan ke UA, politeknik, KK dan ILKA bagi program lepasan SPM,” menurut kenyataan itu lagi.

Kenyataan KPT itu memaklumkan secara keseluruhan, tawaran laluan khas ialah sebanyak 14,619 iaitu 13,649 tawaran diberikan kepada calon dari keluarga B40, 346 kepada orang kurang upaya (OKU), 335 (atlet), 289 (Orang Asli) dan 26 calon yang merupakan lepasan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Mengenai calon yang tidak mendapat tawaran, KPT memaklumkan antara faktor kegagalan ialah tidak memenuhi syarat am atau syarat khas program pengajian, tiada kekosongan tempat terutama bagi program kompetitif dan kedudukan merit rendah.

KPT mempelawa mereka untuk membuat rayuan melalui UPUOnline dalam tempoh 10 hari mulai Jumaat sehingga pukul 5 petang pada 16 Julai ini.

Menurut kenyataan itu lagi, seramai 164,028 daripada 403,637 calon yang menduduki SPM tidak membuat permohonan melalui UPUOnline atas beberapa faktor, antaranya telah mendapat tawaran menyambung pengajian di kolej matrikulasi Kementerian Pendidikan, institut pendidikan guru, institusi pengajian tinggi swasta dan Majlis Amanah Rakyat. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!