Tiada menteri Kerajaan Perpaduan menyalahi tadbir urus - Anwar
SERDANG - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehingga kini tiada menteri dalam Kerajaan Perpaduan pimpinannya terlibat dalam amalan yang menyalahi tadbir urus dan tata kelola.
"Dalam tujuh bulan ini, belum ada kes menteri yang amalkan gelojoh nafsu serakah yang lama untuk menyakau mana-mana kontrak (kerajaan) kerana kita tegas jaga tata kelola ini, elak dari rasuah dan ketirisan," katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 10,000 warga peneroka Felda sempena Sambutan Hari Peneroka Felda 2023, di sini pada Jumaat.
"Kita hadapi masalah ekonomi yang berat, hutang begitu banyak, masalah tak selesai tapi saya yakin sekiranya kita di landasan betul, elak ketirisan, elak tamak haloba, elak nafsu serakah, (elak) ambil kekayaan bukan hak kita, saya yakin Malaysia akan bangkit sebagai negara hebat dan gagah di rantau ini,” katanya.
Anwar berkata, walaupun Kerajaan Perpaduan dianggotai pelbagai parti seperti PKR, DAP, UMNO, Amanah dan Gabungan Parti Sarawak, namun tiada unsur-unsur sabotaj berlaku seperti didakwa sesetengah pihak.
"Saya dalam PH (Pakatan Harapan), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (daripada) UMNO, tapi kita ambil keputusan demi Felda, demi kehidupan orang Melayu, dan rakyat Malaysia kita ambil bersama angkat martabat negara ini untuk hebat semula.
"Bila saya bentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri untuk tolong Felda, disokong oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, disokong Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, disokong Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Inilah perpaduan yang membawa kebaikan untuk rakyat,” katanya lagi. Anwar pada majlis itu menyatakan komitmen kerajaan untuk melupuskan 80 peratus hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!