Polis nafi kejadian tanah runtuh di Gopeng
IPOH - Polis menafikan berlakunya tanah runtuh sehingga menyebabkan beberapa kereta yang dalam kesesakan dihempap batu berlaku di Perak, seperti yang ditunjukkan menerusi satu rakaman video.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, semakan pihaknya mendapati kejadian berkenaan dilaporkan berlaku di luar negara.
"Kejadian itu bukan berlaku di Perak tetapi di luar negara,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 21 saat memaparkan kejadian tanah runtuh dan terdapat batu yang jatuh dari kawasan bukit lalu menghempap beberapa kereta sehingga remuk dan terbalik ketika hujan lebat.
Video kejadian yang tular di media sosial itu didakwa berlaku di Gopeng namun semakan beberapa portal berita melaporkan, kejadian sebenar berlaku di lebuh raya di Nagaland, India beberapa hari lepas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!