Presiden Brazil kritik pelantikan Ancelotti

Ancelotti
Ancelotti
A
A
A

PRESIDEN Brazil Luiz Inacio Lula da Silva mengkritik pelantikan Carlo Ancelotti sebagai pengendali baharu skuad bola sepak Brazil, apabila mendakwa lebih baik pengendali Real Madrid tersebut menyelesaikan masalah pasukan kebangsaan Itali.

Ancelotti dari Itali, yang telah memenangi Liga Juara-Juara dengan rekod empat kali sebagai jurulatih, akan mengambil alih kendalian sebelum Copa America di Amerika Syarikat Jun depan selepas menghormati tahun terakhir kontraknya bersama Real Madrid.

“Saya mengagumi Ancelotti, tetapi dia tidak pernah menjadi jurulatih skuad kebangsaan Itali.

"Mengapa dia tidak menyelesaikan masalah Itali, yang tidak layak ke Piala Dunia 2022?" kata Lula.

Sementara itu, jurulatih Fluminense, Fernando Diniz akan bertanggungjawab ke atas Brazil untuk perlawanan pembukaan kelayakan Piala Dunia 2026.

"Saya peminat Diniz. Dia mempunyai keperibadian, kreativiti dan dialah yang memerintah bilik persalinan,” kata Lula.

Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF) sebelum ini memilih Ancelotti, 64, percaya dia seorang jurulatih paling berjaya dalam sejarah bola sepak Eropah akan memberikan Brazil trofi Piala Dunia keenam sejak 2002.

Impian bertambah besar selepas seteru tetangga Argentina merangkul Piala Dunia 2022 di Qatar Disember lalu ketika Brazil tersingkir di suku akhir yang menyaksikan jurulatih Tite berundur.

“Amat mudah untuk melatih kelab di Eropah dengan 11 pemain antarabangsa dalam pasukan.

“Apa yang sukar adalah untuk datang ke sini dan melatih Corinthians (kelab yang berada dalam zon penyingkiran daripada liga teratas).

"Saya ingin melihat sama ada Ancelotti melakukan kerja yang baik dengan Corinthians,” kata Lula.

Dalam pada itu, Lula pesimis bahawa tidak kira siapa jurulatih skuad Samba akan menghadapi masa yang sukar dalam kelayakan Piala Dunia bersama generasi pemain Brazil sekarang.

“Masalahnya bukan Diniz, masalahnya hari ini kami tidak memiliki tahap pemain yang kami ada pada era sebelum ini,” kata Lula.

Sebagai rekod, Ancelotti akan menjadi pengendali bukan Brazil keempat yang melatih skuad Samba selepas kali terakhir ialah Filpo Nunez dari Argentina yang bertanggungjawab untuk satu perlawanan pada 1965.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!