Karangkraf jamu kakitangan, jemaah solat Jumaat beriani daging masala
SHAH ALAM - Kakitangan Kumpulan Karangkraf dan jemaah yang hadir untuk solat Jumaat di surau Karangkraf di sini, dijamu dengan nasi beriani resipi khas dari Pakistan dan daging korban yang dimasak masala.
Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas, Hashim Anang berkata, program yang julung kali diadakan selepas pandemik Covid-19 itu bagi meraikan kakitangan dan orang ramai.
Beliau berkata, kebiasaannya jamuan berkenaan diadakan semasa Hari Raya Aidiladha.
Bagaimanapun katanya, membawa sedikit kelainan kali ini, ia dianjurkan beberapa hari selepas Hari Raya Aidiladha.
“Baru-baru ini kita ada sembelih enam ekor lembu yang mana dua daripadanya merupakan sumbangan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari.
“Jadi ada daging yang kita agihkan pada hari itu kepada orang ramai dan kita masak serta selebihnya kita bawa untuk jamuan pada hari ini,” katanya kepada Sinar harian.
Hashim menambah, pihaknya berharap dapat mengadakan jamuan sebegini dengan lebih meriah seperti program Iftar Ala Madinah yang berlangsung pada Ramadan lalu.
“Rakan-rakan selalu tanya, bila Karangkraf akan buat rumah terbuka. Saya kata, insya-ALLAH memang kita akan buat dan selalunya pada Aidiladha,” tambahnya.
Sementara itu, tukang masak jamuan, Muhammad Iqbal berkata, pihaknya menyajikan menu nasi beriani bersama daging masala menggunakan resipi khas dari Pakistan.
"Yang menarik, daging masala ini juga kita hidangkan bersama roti sebagai pilihan kepada orang ramai.
"Kita masak kesemua ini untuk 1,000 pek,” ujar lelaki Pakistan itu yang telah menetap di Malaysia sejak 18 tahun lalu.
Dalam pada itu, orang ramai yang hadir untuk solat Jumaat di Kompleks Karangkraf di sini, menzahirkan penghargaan atas pemberian pek nasi beriani tersebut.
Seorang jemaah, Kasman Hamdi, 50, berkata, ia sedikit sebanyak dapat menjimatkan duit poket dengan menikmati hidangan yang agak eksklusif.
“Memang terbaiklah, dibuat pada hari Jumaat, sangat berkat,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Syed Alwi Syed Abdul Manaf, 31, berkata, program tersebut secara tidak langsung menjadikan Karangkraf lebih dikenali orang ramai.
“Diharapkan, program sebegini akan diteruskan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!