Malaysia lepasi ujian Hong Kong di Yogyakarta
MALAYSIA tidak berdepan masalah meraih kemenangan sulung selepas mengatasi Hong Kong 5-0, pada aksi pembukaan Kumpulan C Kejohanan Badminton Remaja Asia 2023 bagi kategori berpasukan di Yogyakarta, Indonesia pada Jumaat.
Pada pertarungan yang berlangsung di Kompleks Sukan Among Rogo itu, beregu campuran Bryan Jeremy Goonting-Chan Wen Tse, menghadiahkan mata pertama negara selepas menumpaskan gandingan Deng Chi Fai-Liu Hoi Kiu Anna 21-12, 21-13, dalam tempoh 23 minit.
Rentak kemenangan itu diteruskan perseorangan lelaki Eogene Ewe, yang melakar kemenangan 21-13, 21-18 berdepan Lam Ka To.
Hong Kong tampak memberi saingan dalam acara perseorangan wanita menerusi Liang Ka Wing, namun dia gagal menyaingi kehebatan Siti Zulaikha Azmi, dalam perlawanan yang berlangsung selama 48 minit itu apabila kecundang 21-15, 17-21, 14-21.
Penguasaan Malaysia diteruskan pasangan beregu lelaki Kang Khai Xing-Aaron Tai, yang hanya memerlukan 19 minit untuk menumbangkan gandingan Awan Usman-Deng Chi Fai 21-9, 21-15, untuk mata keempat skuad negara.
Gandingan beregu wanita Ong Xin Yee-Carmen Ting memastikan Malaysia merakam kemenangan bersih, apabila giliran mereka menewaskan Kiu Anna-Wong Yan Lam Yanes 21-8, 21-7 pada perlawanan terakhir.
Skuad negara akan menamatkan saingan kumpulan berdepan Bangladesh dan India, esok dalam memburu kedudukan dua teratas bagi melangkah ke peringkat suku akhir.
Kejohanan Badminton Remaja Asia 2023 bagi kategori berpasukan berlangsung dari hari ini sehingga Selasa depan, sebelum kategori individu membuka tirai saingan dari 12 hingga 16 Julai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!