Peneroka harap kerajaan dapat selesaikan isu tertangguh

Dari kiri: Mohd Kamarun, Kordi dan Jeminah
Dari kiri: Mohd Kamarun, Kordi dan Jeminah
A
A
A

SERDANG - Peneroka Felda berharap kerajaan terus memberikan fokus menyelesaikan permasalahan yang berlaku di tanah rancangan tersebut.

Peneroka Felda Wilayah Sahabat, Jeminah Abdullah, 55, dia meminta supaya pendapatan bulanan dinaikkan selain khairat kematian golongan ibu tunggal dilaksanakan semula.

"Selaku penerokawati Felda, saya mengharapkan kerajaan naikkan pendapatan bulanan yang ketika ini boleh dikatakan sudah berada pada paras kemiskinan.

"Pendapatan bulanan pada masa ini hanya sekitar RM1,500 dan ia sudah pasti memberikan tekanan kepada golongan terutama ibu tunggal. Kemudian, khairat kematian untuk peneroka bagi membantu ibu perlu diteruskan," katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Bagi Ketua Peneroka Selancar 3, Kordi Hussin, 65, pula mengharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan untuk meluluskan bantuan tanam semula getah (SES).

Tambah Kordi, kos tanam semula itu belum mendapat perhatian daripada Perdana Menteri walaupun beliau meluluskan beberapa perkara yang sudah dipohon.

Sementara itu, wakil Pertubuhan Kami Anak Felda (KAF), Mohd Kamarun Senawi, 39, berkata, isu lot tanah kosong untuk generasi kedua wajar diluluskan segera.

Ujar Mohd Kamarun, ramai generasi kedua tinggal di kawasan rancangan tetapi sebuah rumah pusaka pada masa kini tidak mampu bagi menampung pertambahan bilangan ahli keluarga lain.

"Sebagai contoh, jika rumah tersebut sudah didiami oleh anak sulung, maka adik-beradik lain tidak mempunyai tempat tinggal.

"Jika tanah diluluskan, tanah lot ini boleh dimanfaatkan dengan membina rumah persendirian," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!