KJ, Shahril sifatkan keputusan MCA, MIC permulaan tamatnya hayat BN

Khairy dan Shahril dalam siaran podcast Keluar Sekejap pada Jumaat.
Khairy dan Shahril dalam siaran podcast Keluar Sekejap pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan MCA dan MIC untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) disifatkan sebagai permulaan kepada tamatnya hayat Barisan Nasional (BN).

Pandangan itu disuarakan Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Shahril Hamdan dalam siaran podcast Keluar Sekejap pada Jumaat.

Kedua-dua mereka berpendapat tindakan MCA dan MIC tidak turut sama dalam PRN di enam negeri bukan kerana takut kalah tapi berasa dipinggirkan oleh UMNO yang kini dilihat lebih selesa bersama DAP dan PKR di bawah Kerajaan Perpaduan.

Pada awalnya, Khairy membangkitkan persoalan kepada Shahril adakah situasi politik semasa ini menunjukkan permulaan untuk pengakhiran BN.

"Sebab UMNO nampak syok dengan PKR dan DAP... kepimpinan UMNO nampak dengan DAP mereka boleh menang kawasan bukan Melayu.

“Inilah masanya kita singkirkan (dump) girlfriend lama MCA, MIC dan kita bentuk new alignment,” katanya.

Khairy juga membangkitkan bahawa dalam Perlembagaan BN terkandung dasar satu parti, satu undi yang mampu menyebabkan UMNO tersingkir daripada BN sekiranya berlaku perpecahan.

“Ada empat komponen parti dalam BN iaitu UMNO, MIC, MCA dan PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah) kalau tiga putuskan contoh MCA, MIC dan PBRS buat keputusan dia boleh tendang UMNO keluar.

“Atas soal dasar satu parti, satu undi, maka dalam senario itu, bukannya MCA dan MIC yang kena tendang keluar, UMNO yang kena tendang keluar dan mungkin UMNO akan masuk Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Sementara itu Shahril berkata, jangkaan berakhirnya riwayat BN adalah tidak mustahil bahkan boleh terjadi apabila MCA dan MIC 'dipaksa' angkat kaki dalam keadaan-keadaan tertentu.

"Mereka (UMNO) akan beri tekanan kepada MIC dan MCA untuk dilihat mereka sendiri yang nak keluar (BN)... itu spekulasi sayalah... mereka akan tekan MIC dan MCA dalam keadaan seperti mereka tiada pilihan.

"Seperti mana PH buat kepada Parti Muda, seolah-olah Muda sendiri keluar dan nampak Muda tamak dan gelojoh," dakwa beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!