Penalti 'rompak' kemenangan Perak FC di Ipoh

Aksi di Stadium Perak di sini menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi mata. - Foto Twitter Perak FC
Aksi di Stadium Perak di sini menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi mata. - Foto Twitter Perak FC
A
A
A

SEPAKAN penalti yang dihadiahkan kepada Kelantan United FC nyata mengecewakan Perak FC apabila terpaksa berkongsi mata dalam perlawanan Liga Super yang berakhir 1-1 di Stadium Perak pada Jumaat.

Minit awal perlawanan menyaksikan permainan bagi kedua-dua pasukan seimbang tanpa sebarang percubaan berbahaya.

Melepasi lima minit perlawanan, Perak FC lebih agresif mengatur gerak dengan menyusun serangan ke kubu lawan bagi mendapatkan gol awal.

Pada minit ke-9 Perak di depan menerusi satu tandukan tepat daripada Sunday Afolabi ke gawang Kelantan United FC hasil hantaran menerusi sepakan penjuru oleh kapten pasukan, Luciano Guaycochea menghasilkan jaringan 1-0.

Tersentak dengan jaringan itu, Kelantan United FC cuba mengasak kubu tuan rumah dengan beberapa serangan namun ketumpulan jentera serangan tidak memberikan masalah kepada Perak FC.

Penyerang Perak FC, Aliff Zikri dilayangkan kad kuning pertama perlawanan selepas bertindak menendang bola yang sudah pun keluar daripada kawasan permainan.

Minit ke 24, Perak FC mencipta peluang untuk menambah jaringan menerusi sepakan penjuru cantik daripada Luciano yang melencong terus ke gawang namun berjaya ditolak keluar penjaga gol Kelantan United FC, Asyraaf Omar.

Separuh masa pertama berakhir dengan keputusan Perak FC mendahului Kelantan United FC dengan 1-0.

Bersambung babak kedua, Perak FC dilihat menguasai perlawanan dengan beberapa gerakan dan percubaan berbahaya ke gawang lawan.

Memasuki minit ke-53, pertahanan tuan rumah, Hafizal Mohamad berpeluang menambah jaringan Perak FC menerusi rembatan dari luar kotak penalti ke gawang lawan namun berjaya ditepis penjaga gol Kelantan United FC.

Percubaan terbaik Kelantan United FC muncul pada minit ke-67 menerusi rembatan Asyraff Aliffuddin tetapi berjaya didakap kemas penjaga gol Perak FC, T Shaheeswaran.

Shaheeswaran sekali lagi bertindak cemerlang menepis keluar rembatan deras pemain tengah Kelantan United, Khairu Azrin Khazali menyelamatkan pintu gol Perak FC daripada dibolosi.

Bagaimanapun Kelantan United FC dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-84 apabila penjaga garisan mendakwa pemain Perak FC melakukan kekasaran ke atas pemain lawan di dalam kotak penalti.

Kesempatan itu disudahkan pemain veteran, Indra Putra Mahyuddin dengan gol penyamaan menjadikan kedudukan 1-1 dengan Perak FC.

Keputusan tersebut kekal hingga penghujung babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan tercorot liga berkongsi satu mata.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!