AJBC edisi kedua beri lebih banyak peluang kepada pemain muda
KEJOHANAN Badminton Ramaja Allianz (AJBC) dijangka menarik lebih daripada 2,500 peserta dalam edisi kedua kejohanan itu yang bermula dari bulan ini.
Allianz Malaysia Berhad berkata ia akan menganjurkan pusingan kelayakan selama tiga hari di setiap 10 lokasi seluruh negara di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Kedah, Johor, Terengganu dan Negeri Sembilan selain dari tiga lokasi tambahan di Sabah, Sarawak dan Pahang dari Julai hingga November depan.
Seterusnya, peringkat akhir akan berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara, di sini dari 16 hingga 19 November tahun ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad Sean Wang teruja dengan penganjuran kejohanan ini yang mengetengahkan tiga venue baharu.
"Kami gembira dengan adanya pusingan kelayakan di Sabah, Sarawak dan Pahang yang akan memberikan lebih banyak peluang kepada pemain muda untuk bertanding dalam pertandingan peringkat kebangsaan yang sebenar.
"Kami berharap AJBC terus mencungkil bakat terpendam pemain badminton dalam negara ini dan mungkin menyumbang ke arah pembentukan bintang di masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
AJBC akan mengetengahkan empat acara -- perseorangan lelaki, beregu lelaki, perseorangan perempuan dan beregu perempuan dalam kategori di bawah 13 dan 15 tahun.
Johan peringkat akhir perseorangan dan beregu AJBC 2023 masing-masing akan membawa pulang hadiah RM1,000 dan RM1,2000.
Johan perseorangan di peringkat pusingan kelayakan akan menerima RM500 sementara bagi beregu pula ialah RM600.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!