Hentikan pembalakan di Hutan Simpan Air Chepam Hulu Perak

Shariffa Sabrina meninjau sekatan yang dibina penduduk di Tasik Cunex, Gerik.
Shariffa Sabrina meninjau sekatan yang dibina penduduk di Tasik Cunex, Gerik.
A
A
A

GERIK - Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) menggesa kerajaan Persekutuan untuk menghentikan segera pembalakan di Hutan Simpan Air Chepam Hulu Perak seperti mana yang telah dilakukan di Gua Musang, Kelantan.

Presiden PEKA, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, masyarakat orang asli di Gerik sudah tiada pilihan untuk menghentikan aktiviti pembalakan apabila sekatan di tiga lokasi iaitu di Cinaweng, Tasik Cunex dan terbaru di Sungai Papan sudah beberapa kali dirobohkan pembalak.

Menurutnya, tindakan itu dibuat setelah laporan polis yang dibuat kepada agensi berkaitan tidak dapat menghentikan aktiviti pembalakan.

Orang asli membantah pembalakan hutan di tanah adat mereka yang merosakkan alam sekitar sekali gus mengancam sumber rezeki penduduk.
Orang asli membantah pembalakan hutan di tanah adat mereka yang merosakkan alam sekitar sekali gus mengancam sumber rezeki penduduk.

“Di Gua Musang, Kelantan sudah ada empat sekatan dan kerajaan Persekutuan kini sudah mengambil tindakan menyaman kerajaan negeri Kelantan. Masyarakat orang asli di Gerik juga memerlukan pertolongan yang sama daripada kerajaan Persekutuan bagi menjaga tanah adat mereka.

“Kita kena faham hutan merupakan gedung makanan dan perubatan bagi masyarakat orang asli di sini. Pembalakan menyebabkan mata pencarian mereka diancam kepupusan selain menyebabkan air sungai kotor,” katanya sewaktu melawat perkampungan Orang Asli Tasik Cunex di sini kelmarin.

Shariffa Sabrina berkata, usaha masyarakat orang asli dalam mempertahankan khazanah alam seperti balak daripada dibawa keluar dari hutan sewajarnya diberikan penghargaan dan dibanggakan.

Artikel Berkaitan:

Shariffa Sabrina melawat orang asli di Gerik kelmarin.
Shariffa Sabrina melawat orang asli di Gerik kelmarin.

Menurutnya, masyarakat orang asli berhak mempertahankan hutan dan juga tanah adat mereka.

“Malah, kita juga perlu berterima kasih kepada orang asli kerana sanggup menjaga hutan bagi kepentingan bersama. Hutan ini penting kepada ekologi. Orang asli menjaga hutan, maknanya mereka menjaga masyarakat yang lain.

“Kerajaan tolonglah cari perniagaan lain selain aktiviti pembalakan, kalau boleh pembalakan ini kita hentikan terus kerana ia tak bawa apa-apa manfaat pun kepada masyarakat setempat,” tegasnya.

Longgokan kayu balak yang ditebang dari Hutan Simpan Air Chepam Hulu Perak, Gerik.
Longgokan kayu balak yang ditebang dari Hutan Simpan Air Chepam Hulu Perak, Gerik.

Enam hari lalu tular video masyarakat orang asli di Gerik, Perak menghalang pembalak yang meruntuhkan sekatan bagi membawa hasil balak keluar dari hutan simpan berkenaan.

Dalam video berdurasi 3 minit 23 saat itu, PEKA menyifatkan tindakan pembalak seolah-olah membuli orang asli yang sangat bersusah-payah menjaga tanah adat mereka daripada dirosakkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!