Hayati al-Quran untuk memartabatkan manusia

Membaca al-Quran merupakan salah satu kewajipan yang wajib dijalankan oleh setiap umat Islam.
Membaca al-Quran merupakan salah satu kewajipan yang wajib dijalankan oleh setiap umat Islam.
A
A
A

SHAH ALAM - Membaca al-Quran merupakan salah satu kewajipan yang wajib dijalankan oleh setiap umat Islam. Seperti solat lima waktu, membaca al-Quran juga merupakan ibadah yang tidak boleh ditinggalkan.

Al-Quran merupakan kitab suci bagi umat Islam disebabkan keistimewaan yang terkandung dalamnya. Namun masih ramai kurang memahami dan menghayatinya untuk dijadikan sumber panduan dan memartabatkan kehidupan mereka.

Pengarang Kumpulan Media Selangor Berhad, Wan Muhammad Fathi Aris Omar berkata, umat Islam di negara ini menganggap al-Quran sebagai sumber keberkatan tetapi kurang pendedahan pengajian yang mendalam seperti tafsir dan lughah (bahasa) sebagaimana di luar negara seperti Pakistan dan Timur Tengah.

Wan Muhammad Fathi
Wan Muhammad Fathi

Oleh itu katanya, program #QuranHour anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mampu menarik lebih ramai orang bukan sekadar membaca, malah memahami intipati al-Quran dan satu permulaan untuk mendekati kalam ALLAH itu.

“Hakikat tujuan al-Quran diturunkan sebagai panduan manusia sepanjang zaman. Sifat al-Quran yang penuh rahsia memerlukan kajian mendalam dari segi bahasa, bukan sekadar hukum-hakam dan tajwid sahaja.

“Para ulama melalui kajian dalam bidang masing-masing telah menjelaskan pelbagai perkara yang disebut dalam al-Quran seperti fenomena alam, sains dan sejarah untuk kita fahami,” katanya.

Tahun ini, Surah al-Insan menjadi surah pilihan dengan tema ‘Memanusiakan Manusia’ pada kempen berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal anjuran WUIF.

Beliau berpendapat, tema itu adalah penting, tetapi bukan mudah untuk memahamkan orang ramai. Memang menjadi fitrah manusia yang merosakkan dan memusnahkan.

Kembali asal-usul

Surah Al-Insan mengajak manusia ingat kembali asal-usul kejadian daripada air mani. Kita lebih kecil daripada debu dalam galaksi bima sakti di alam semesta yang luas.

Namun kita tidak sedar kerana ada ego dan kesombongan yang tidak berasa diri sekecil itu.

Cabaran kemanusiaan paling besar dalam abad ini adalah masalah ancaman kepada alam sekitar. Contohnya, teknologi menghasilkan plastik telah merosakkan alam sekitar dan perancangan bandar yang tidak seimbang.

Konsep pembangunan gaya barat dan sains teknologi yang mengejar matlamat kebendaan melampau ini telah merosakkan alam.

Konsep kehidupan hari ini tidak lagi serasi dengan ekologi dan perimbangan manusia yang mempunyai nilai jasad, akal, spiritual dan emosi.

“Kita tidak mahu terperangkap dalam dilema kalangan umat Islam yang perlu pengesahan sains untuk mengatakan al-Quran itu sangat hebat. Sedangkan al-Quran merangkupi semua aspek kehidupan yang pengakhirannya menggambarkan kebesaran dan ketauhidan kepada ALLAH SWT.

“Perkara yang mencemaskan masa kini adalah manusia cenderung untuk mengambil ‘sampah’ daripada media sosial yang bersifat pendidikan dan mengembangkan bakat dan keupayaan.

“Sedangkan teknologi maklumat ini berpotensi membangunkan manusia secara seimbang jika maklumat yang disebarkan dalam media sosial dimanfaatkan dengan baik,” katanya.

Jurang kaya miskin

Selain itu, kata Wan Muhammad Fathi, jurang kaya miskin juga merupakan cabaran memanusiakan manusia.

Katanya, tahap kemiskinan seseorang itu boleh menyebabkan hilang harga diri.

“Tidak mempunyai tempat tinggal selesa, kekurangan makanan dan pendidikan terabai. Sedangkan orang kaya bertambah kaya dan berbelanja sesuka hati,” katanya.

Dalam Surah Al-Hasyr (ayat 7), ALLAH SWT memberi teguran bahawa jangan kekayaan itu berlegar-legar dalam kalangan orang kaya.

Apabila disebut zakat, masalah orang Islam tidak melihat dari segi keseluruhan ekonomi yang bergerak pada zaman sekarang.

Zaman dahulu,katanya, ekonomi berdasarkan sistem barter iaitu pertukaran barang tanpa menggunakan mata wang.

“Sekarang ekonomi berubah dalam bentuk lebih abstrak dengan berdasarkan gaya hidup dan jenama. Terkini, orang berniaga dalam bentuk digital seperti Bitcoin dan digital NFT (aset digital seperti lukisan, video, animasi, muzik, dan permainan video).

“Al-Quran diturunkan pada zaman Rasulullah SAW dalam suasana ekonomi berbeza, tetapi panduannya merentasi pelbagai bentuk evolusi tamadun manusia. Jadi kerajaan, pakar ekonomi, aktivis dan media berperanan untuk memberi kesedaran mengenai perkara tersebut,” ujarnya lagi.

Berkongsi sejarah dan peranan Media Selangor, beliau berkata, dahulu ia dikenali sebagai Communication Corporation Sdn Bhd (CCSB) dan ditubuhkan pada awal 2009 selepas perubahan tampuk kepimpinan Menteri Besar yang berperanan sebagai media untuk menyampaikan program dan mesej pentadbiran kerajaan negeri kepada rakyat Selangor.

Media Selangor mempunyai akhbar Selangor Kini; portal empat edisi - bahasa Melayu, Tamil, Inggeris dan Mandarin; dan SelangorTV di YouTube. Selain itu, saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan TikTok dimanfaatkan untuk menyampaikan mesej kerajaan.

WUIF bersama rakan sinergi media bekerjasama untuk menggerakkan pelbagai kempen #QuranHour melalui platform media masing-masing sejak 2016.

Peranan media sangat penting untuk menyampaikan mesej al-Quran yang membentuk kerangka fikir dan karakter umat di seluruh dunia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!