MOT mohon peruntukan RM10 juta untuk MyLesen B2 tahun depan

Anthony (tiga dari kiri) memakaikan topi keledar kepada salah seorang penerima dalam Majlis Penyerahan Lesen Memandu di bawah program MyLesen B2 di Pusat Latihan Memandu Balik Pulau pada Sabtu.
Anthony (tiga dari kiri) memakaikan topi keledar kepada salah seorang penerima dalam Majlis Penyerahan Lesen Memandu di bawah program MyLesen B2 di Pusat Latihan Memandu Balik Pulau pada Sabtu.
A
A
A

BALIK PULAU - Kementerian Pengangkutan akan berunding dengan Kementerian Kewangan untuk memperoleh peruntukan lebih RM10 juta bagi Program MyLesen B2 pada tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, dengan peruntukan tersebut, ia akan memanfaatkan kepada lebih 30,000 orang calon daripada golongan B40 di seluruh negara untuk memperoleh lesen memandu Kelas B2 (motosikal).

Menurutnya, kementerian telah menerima permohonan daripada semua negeri berhubung bantuan tersebut dan akan berusaha untuk memastikan lebih ramai akan dibantu pada tahun hadapan.

"Kita berharap akan dapat peruntukan lebih besar pada tahun depan, jika boleh, dua tiga kali ganda daripada tahun ini. Kita akan cuba berunding dengan Kementerian Kewangan untuk menambah peruntukan sehingga RM10 juta.

"Dengan peruntukan itu, ia mampu untuk menyalurkan bantuan kepada lebih 30,000 calon. Seperti tahun ini, dengan peruntukan RM2.7 juta, kita mampu membantu 9,000 calon sahaja.

"Kita tidak dapat menampung dengan ramai dengan peruntukan sebanyak itu kerana setiap negeri ada permohonan," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Lesen Memandu di bawah program MyLesen B2 di Pusat Latihan Memandu Balik Pulau di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan beberapa barisan pimpinan Kerajaan Pulau Pinang.

Anthony berkata, menerusi Program MyLesen (B2) seramai 293 orang daripada golongan B40 dari Pulau Pinang menerima Lesen Memandu Malaysia Kelas B2 (Motosikal)

Katanya, para penerima adalah pelajar-pelajar sekolah daripada 12 buah sekolah di daerah Barat Daya yang turut menerima bantuan melalui Program Bantuan e-Kasih, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan lain-lain.

"Inisiatif ini bukan sahaja semata-mata untuk memberi lesen memandu kepada mereka yang layak tetapi sebagai salah satu usaha Kerajaan untuk mendidik masyarakat mengenai kesedaran terhadap pematuhan peraturan jalan raya dan juga pembudayaan keselamatan jalan raya.

"Penetapan kesemua modul kursus latihan dan ujian adalah setara dengan ketetapan sedia ada untuk membuktikan komitmen dan usaha berterusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memastikan kesemua penunggang motosikal betul-betul kompeten dan menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

"Saya juga berharap penerima bantuan di bawah Program MyLesen akan memanfaatkan bantuan ini, kerana program ini merupakan salah satu usaha murni Kerajaan terus kepada golongan sasar di negara kita," katanya.

Kata beliau lagi, selain daripada aspek sosioekonomi, inisiatif ini dapat melahirkan penunggang motosikal yang kompeten dan selamat.

"Usaha ini didorong dengan hasrat Kerajaan yang sentiasa mempergiatkan aktiviti advokasi keselamatan jalan raya dan penguatkuasaan kepada pengguna jalan raya bagi mengurangkan kadar kemalangan.

"Inisiatif ini adalah selaras dengan Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengurangkan kadar kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya sekurang-kurangnya 50 peratus menjelang tahun 2030," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!