Sultan Nazrin berkenan rasmi Galeri Rumah Lat
BATU GAJAH - Setelah tertangguh beberapa tahun, akhirnya Galeri Rumah Lat dirasmikan dalam majlis penuh bermakna di sini hari ini.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke perasmian galeri kartunis terulung negara Lat atau nama sebenarnya Datuk Mohd Nor Khalid.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Ketibaan baginda berdua pada kira-kira 10 pagi disambut Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Lat.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah, Lembaga Muzium Negeri Perak dan barisan exco kerajaan negeri.
Sultan Nazrin kemudian berkenan melakukan gimik perasmian dan menandatangani plak perasmian sebelum melakukan lawatan ke Galeri Rumah Lat.
Terdahulu, Saarani dalam sembah ucapannya berkata, kos pembangunan Galeri Rumah Lat dibiayai Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berjumlah RM3.81 juta dan siap sepenuhnya pada Januari 2022.
"Kerja-kerja pengisian pameran pula disiapkan pada 30 Jun lepas dengan kos bernilai RM700,000 dengan pembiayaan menggunakan wang sumbangan kementerian.
"Kerajaan negeri pula bertindak menampung seluruh kos operasi galeri dari segi fizikal, selanggara dan perjawatan," katanya.
Beliau berkata, pembinaan galeri itu adalah sejajar dengan Sasaran Agenda Perak Sejahtera 2030 yang antara lainnya menekankan Sejahtera Sosial bagi memupuk dan mengekalkan Seni Budaya dan Warisan.
"Usaha kerajaan negeri mengangkat usaha-usaha kreatif anak-anak kelahiran Perak akan menghasilkan ramai lagi tokoh-tokoh dalam bidang berkaitan pada masa akan datang.
"Seterusnya Sasaran Agenda Perak Sejahtera 2030, melalui tujahan Sejahtera Sosial dalam memupuk dan mengekalkan Seni Budaya dan Warisan dapat dijayakan, yang akhirnya kesejahteraan tersebut dinikmati oleh seluruh rakyat jelata," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!