[VIDEO] Akuaponik bantu tangani masalah jaminan makanan

Murugan (dua dari kanan) melihat sayur - sayuran yang ditanam dengan kaedah akuaponik.
Murugan (dua dari kanan) melihat sayur - sayuran yang ditanam dengan kaedah akuaponik.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Konsep akuaponik merupakan antara kaedah dilaksanakan dalam pertanian pintar (smart farming) yang dilihat dapat membantu menangani masalah jaminan makanan (food security) di negara ini.

Menurut Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Nesa, Skudai, A K Murugan, 52, selain penjimatan, konsep berkenaan juga dapat memastikan makanan yang dihasilkan lebih selamat.

“Sistem akuaponik ini dua dalam satu iaitu boleh tanam sayur dan dalam masa sama memelihara ikan. Macam sekarang kami bela tilapia merah, lepas ini udang galah dan lobster pula.

“Selain itu, bahan digunakan senang kita dapat. Untuk bekalan air pula kita gunakan air tadahan hujan kerana selain dapat membantu jimatkan kos, air hujan ini ada kebaikannya untuk ikan.

“Selain itu, kita juga ada food waste barrel (bekas sisa makanan) yang kita gunakan (kitar semula) untuk sistem akuaponik ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di tapak projek Akuagro RT di KRT berkenaan pada Sabtu.

Untuk rekod, pihak Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) telah memberikan KRT Taman Nesa geran sebanyak RM10,000 bagi menghasilkan 15 bekas sisa makanan pada 2021.

Namun pihak KRT berjaya menghasilkan 20 bekas, seterusnya 30 bekas pada 2022 dan 20 bekas pada 2023, selain menyediakan tempat tunjuk ajar penghasilan sistem berkenaan menggunakan sistem solar menerusi kaedah smart farming.

Seorang peserta, V Mangayarkarasy, 75, berkata, dia menyertai projek Akuagro RT di KRT kerana tertarik dengan konsep dan kaedah digunakan.

Katanya, kaedah pertanian yang menggunakan bahan semula jadi itu turut membantu dari segi kesihatan.

“Saya suka kaedah pertanian begini kerana saya boleh terus mendapatkan bekalan sayuran dari tempat ia ditanam dan terus dimasak...jimat masa dan jimat belanja berbanding pergi ke pasar.

“Saya juga dapati, tanaman yang dihasilkan di sini tidak menggunakan baja, tidak ada bahan-bahan kimia dan ia memang baik untuk kesihatan kita.

“Selain itu kaedah ini mampu membantu mengurangkan stres dan menjadikan kita bertambah sihat,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Eksekutif i-Grow, Nordin Abdul Malek berkata, sebagai rakan strategik pihaknya akan turut membimbing peserta-peserta bagi projek Akuagro RT ini bagi meningkatkan lagi pengeluaran pertanian pada masa akan datang.

Malah katanya, projek tersebut juga bakal melahirkan lebih ramai tenaga mahir khususnya dalam industri pertanian di negara ini.

“Saya lihat program ini bukan sahaja dapat tingkatkan nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat rukun tetangga yang terlibat, tetapi dapat membantu membangunkan pengeluaran produk makanan.

“Yang lebih penting, kita lihat banyak kemahiran dan kepakaran bagi menghasilkan konsep smart farming di KRT seluruh negeri (Johor).

“Sekali gus, ia bertepatan dengan hasrat kerajaan menjadikan konsep smart farming ini sebagai salah satu mekanisme bagi meningkatkan pengeluaran pertanian dan juga projek-projek komuniti dalam usaha merakyatkan pertanian dan mengatasi masalah 'food security' yang melanda negara,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!