Pas tidak buat rayuan keputusan petisyen pilihan raya Parlimen Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU - Pas tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya bagi Parlimen Kuala Terengganu.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam, Wan Rohimi Wan Daud, yang mewakili Datuk Ahmad Amzad Hashim, calon Pas bagi Parlimen Kuala Terengganu sewaktu pilihan raya umum yang lepas.
Menurutnya, keputusan itu disahkan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam mesyuarat Pas Pusat yang sedang berlangsung di sebuah hotel di sini pada ketika ini.
"Pas bersedia untuk terus diadakan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, serentak dengan pilihan raya negeri yang akan diadakan pada 12 Ogos nanti," katanya menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.
Pada 27 Jun lepas, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahmad Amzad pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dilaporkan berkata, pihak pempetisyen iaitu calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Zubir Embong, berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.
Berikutan keputusan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menunggu Perakuan Hakim Pilihan Raya untuk mewartakan kekosongan kerusi dan mengadakan pilihan raya.
Pada 3 Januari lepas, UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu di Mahkamah Tinggi di sini mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dilapor berkata, petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan Pas menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November lepas, iaitu beberapa hari sebelum pengundian PRU15, melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.
Pada PRU15, Ahmad Amzad memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan memperoleh majoriti 40,907 undi selepas menewaskan tiga pencabar lain termasuk Mohd Zubir. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN:
Petisyen pilihan raya Parlimen Marang: Calon BN merayu ke Mahkamah Persekutuan
Kemenangan Ahmad Amzad di Parlimen Kuala Terengganu dibatal
Abdul Hadi kekal Ahli Parlimen Marang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!