'Penjaja kecil terbeban, kuasa beli pengguna menurun'

Wan Ahmad Fayhsal
Wan Ahmad Fayhsal
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu melaksanakan strategi dan inisiatif serta pendekatan khas bagi membantu perusahaan kecil yang terjejas teruk.

Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, inflasi yang melanda negara ketika ini memberi impak dan menjejaskan usahawan mikro serta penjaja kecil bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Bagi menampung kos modal perniagaan dan sewa tapak yang tinggi penjaja kecil terpaksa meningkatkan harga jualan sehingga memberi kesan terhadap penurunan kuasa beli.

“Mereka bukan sahaja perlu berhadapan dengan kos barangan mentah yang semakin meningkat, bahkan perlu berhadapan kerugian kerana kuasa beli semakin berkurang,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Sabtu.

Tambah Ahli Parlimen Machang itu, dengan kenaikan inflasi negara yang mencecah 2.8 peratus dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang meningkat menyebabkan perbelanjaan isi rumah terjejas.

Ujarnya, situasi tersebut menyebabkan pengguna mengambil langkah untuk lebih berhati-hati dalam berbelanja.

“Apabila inflasi berlaku maka kuasa beli pengguna akan menyusut kerana kekurangan kemampuan untuk membeli barangan kerana terlalu mahal.

“Fenomena inflasi ini berlaku apabila terdapat kenaikan pada harga barangan dan perkhidmatan dalam satu tempoh masa tertentu dan perkara ini merupakan cerminan kuasa beli pengguna,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!