Ugarte perkuat jentera tengah PSG
KELAB Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) selesai memantapkan jentera tengah selepas mengikat pemain Uruguay, Manuel Ugarte dari kelab Portugal, Sporting Lisbon pada Jumaat.
Pemain berusia 22 tahun itu menjadi rekrut ketiga PSG pada musim panas ini selepas Milan Skriniar dan Marco Asensio diikat secara perpindahan percuma.
Ugarte menandatangani kontrak lima tahun bersama juara Perancis itu yang membayar 60 juta euro (RM307 juta) sekali gus menyekat minat daripada Chelsea.
Pemain tengah bertahan itu memulakan kariernya bersama Fenix di Montevideo sebelum berpindah ke Portugal untuk menyertai Famalicao.
Dia kemudian menyertai Sporting dan menghabiskan dua musim terakhir bersama mereka.
Ugarte berada dalam skuad Uruguay pada Piala Dunia tahun lalu, namun tidak berpeluang beraksi.
Pemain pertahanan Perancis yang memenangi Piala Dunia 2018, Lucas Hernandez turut dijangka hadir ke Paris ketika jurulatih baharu Luis Enrique berusaha memantapkan pasukannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!